UMNO Dah Lama Kena Talkin Jika Ia Lemah – Zahid

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan partinya dengan menegaskan ia tidak lemah, bahkan panji-panjinya terus berkibar dengan semangat dan iltizam baharu.

Malah, jika benar UMNO dianggap lemah, sudah pasti parti itu ditalkinkan, iaitu selepas kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

“Jika pemimpin UMNO lemah, selain ditalkinkan, sudah lama UMNO ‘dimuziumkan’ dalam gaung paling dalam tanpa seutas tali untuk bangkit semula.

“Jelasnya tidak. UMNO tidak mengalah. Panji-panjinya terus berkibar dengan semangat baharu.

“Pemimpin UMNO di pelbagai peringkat iaitu pusat, negeri, bahagian dan cawangan terus setia, bertahan serta menggasak,” katanya dalam kenyataan.

Reaksi Zahid dipercayai merujuk kepada pandangan Pensyarah Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakub yang dilaporkan berkata, langkah keluar parti oleh pemimpin UMNO sebelum ini membuktikan kelemahan presiden dalam kepimpinannya.

Penganalisis politik itu berkata, beliau yakin ahli UMNO mempunyai pandangan yang cukup berbeza dari ahli politik yang lain, kerana mereka yakin parti itu dapat menjadi wadah kepada orang Melayu.

Malah, beliau berpandangan, apabila UMNO ditadbir oleh seorang presiden yang lemah, inilah kali pertama dalam sejarah parti itu, seorang presiden yang tidak akan menjadi Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, biarpun beliau sendiri menyaksikan ramai sahabat perjuangan melarikan diri demi menyelamatkan perjuangan peribadi, namun beliau tidak menolak bahawa masih ramai pemimpin meneruskan perjuangan berbekalkan iltizam dan semangat kebenaran menentang fitnah kezaliman adu domba tanpa gentar.

“Alhamdulillah, kini UMNO semakin jauh kehadapan. Jauh daripada tebing nan mendukacitakan.

“Terima kasih semua. Perjuangan agama, bangsa dan negara tidak pernah luntur, kerana itu kita tidak goyah dan masih di sini.

“Kita bersama teruskan momentum UMNO. Kita teruskan pelayaran ini. Kepada Allah kita bertawakal,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles