UMNO Bukan ‘Talian Hayat’ Kepada Mana-Mana Parti

Ada individu yang berusaha menyelamatkan kedudukan BERSATU dengan mendakwa bahawa PAS tidak akan bersama UMNO jika tidak ada penyertaan dari ‘parti bunga’ itu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, baik UMNO atau PAS, kedua-duanya menyedari bahawa kepentingan utama ialah rundingan kerusi pilihan raya antara keduanya sebagai sebahagian daripada Muafakat Nasional (MN).

“PAS pasti menyedari bahawa akan ada kerusi yang UMNO akan bertembung dengan BERSATU. Oleh kerana UMNO bukan sebahagian dari PN, maka apa jua rundingan dengan BERSATU adalah untuk UMNO lakukan terus dengan PN melalui BN,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, UMNO dan PAS mempunyai sinergi yang meyakinkan dan sinergi itu mestilah dioptimumkan pada waktu ini.

Malah kerjasama UMNO dengan parti lain adalah berdasarkan formula kemampuan parti tersebut yang memberikan UMNO peluang stratregi dalam mencapai kebolehmenangan.

UMNO, menurut Mohamed Khaled bukan dalam misi memberikan ihsan kepada mana-mana pihak untuk bernafas dan meraih kemenangan dengan pertolongannya.

Malah parti itu juga tidak mahu dipaksa menerima sesiapa untuk menjadi rakan politiknya dan hanya jauhari yang mengenal manikam.

“Keutamaan UMNO ialah kemenangan berganda dengan kerjasama Pas. Selebihnya, biar UMNO akan tentukan jalannya sendiri,” ujarnya.

Reaksi itu menyusul selepas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa dilapor berkata, UMNO kini tidak lagi ada pilihan untuk bertanding dalam PRU akan datang hanya bersama PAS sebagai sekutu, seperti rancangan awalnya dahulu.

Katanya, ini memandangkan PAS bertegas UMNO mesti turut menjadi rakan sekutu dengan BERSATU.

Menjelaskan lebih lanjut Mohamed Khaled berkata, UMNO sangat menghargai setiakawan PAS dan kerjasama keduanya telah banyak membuahkan kebaikan kepada politik Melayu Islam di Malaysia.

Walaupun PAS menyertai PN, UMNO tidak menghalangnya kerana parti itu memahami dan menghormati kedudukan PAS, katanya.

“Lagipun piagam Muafakat Nasional tidak pernah menghalang PAS bekerjasama dengan sesiapapun.

“Maka demikian juga yang UMNO harapkan dari PAS tentang hubungan UMNO dengan BERSATU.

“UMNO yakin PAS tidak akan memaksa UMNO untuk menerima BERSATU apalagi memberikan kerusi kepada BERSATU dengan sewenangnya,” jelas beliau.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,790FollowersFollow
20,800SubscribersSubscribe

Terkini