UMNO Bukan Satu-satunya Parti Yang Desak Parlimen Bubar

KUALA LUMPUR: Gesaan supaya Parlimen dibubarkan bagi mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) turut disuarakan oleh parti-parti politik yang lain.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menepis dakwaan kononnya gesaan itu hanya datang dari partinya sahaja.

Tegas Ahmad Zahid, Bersatu turut mengharapkan Parlimen dibubarkan dengan segera.

Beliau merujuk kepada kenyataan bekas Naib Presiden Bersatu, Tan Sri Abdul Rashid Ab Rahman yang menegaskan PRU15 perlu diadakan sekarang.

Ahmad Zahid berkata, Abdul Rashid telah mengeluarkan pendapat yang disifatkan sebagai jujur berikutan pengalamannya dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Beliau juga bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya menyatakan mandat sah demokrasi perlu dikembalikan. Kerajaan pula tidak stabil kerana terdapat pelbagai watak dan parti dan ini tidak baik untuk negara. Katanya lagi ekonomi semakin buruk dan pelabur pula lari.

“Tan Sri Rashid juga bekas Naib Presiden Bersatu dan kini masih jadi ahli Bersatu bersikap jujur menyatakan sikap dan pendiriannya berdasarkan pengalamannya sekitar 30 tahun berada dalam Suruhanjaya Pilihan Raya,” kata Ahmad Zahid dalam satu hantaran di media sosial, hari ini.

Ahmad Zahid sebelum ini telah beberapa kali menggesa supaya PRU15 diadakan dengan segera bagi mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang diingini.

Dalam Majlis Pembukaan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 Mac lalu, Ahmad Zahid berkata, hasrat untuk mengadakan PRU15 secepat mungkin sememangnya tidak boleh dinafikan kerana ia menjadi keinginan akar umbi UMNO ketika ini.

BBerkaitan

Latest articles