KUALA LUMPUR: Kenyataan terbaharu Profesor Sains Politik, James Chin, berhubung UMNO dan kes Datuk Seri Najib Razak disifatkan sebagai dangkal, berat sebelah dan gagal mencerminkan realiti politik sebenar negara.
Penyokong Najib berkata, dakwaan bahawa UMNO sedang “menuju kematian politik” serta pendiriannya hanya bersifat retorik kosong adalah gambaran yang menyimpang dan tidak adil.
Tegas mereka, UMNO kekal sebagai antara parti politik terbesar dan paling tersusun di Malaysia, meskipun berdepan kekalahan serta cabaran besar sejak Pilihan Raya Umum 2018.
“Jika kekalahan pilihan raya dijadikan ukuran kematian politik, maka DAP selepas PRU 2004, PKR pasca perpecahan 2008 dan PAS selepas 2015 juga sepatutnya sudah lama lenyap. Hakikatnya, semua parti ini bangkit semula. Itulah dinamika demokrasi,” menurut kenyataan itu.
Mereka menegaskan bahawa kerelevanan politik tidak ditentukan oleh pandangan peribadi seorang ahli akademik di media sosial, sebaliknya melalui sokongan rakyat dan realiti semasa landskap politik negara.
Kenyataan tersebut turut menolak dakwaan bahawa UMNO kekal berada dalam kerajaan semata-mata kerana wang dan akses kepada kuasa.
Menurut mereka, sejarah membuktikan UMNO pernah berada di luar kerajaan antara 2018 hingga 2020 dan masih berfungsi sebagai sebuah parti politik yang aktif dan tersusun.
“Penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan bukan keputusan unilateral. PKR, DAP, GPS dan GRS juga membuat pilihan sama atas pertimbangan kestabilan negara. Mengapa hanya UMNO yang diserang?” soal kenyataan itu.
Penyokong Najib itu turut membidas gesaan James Chin yang menyifatkan keberanian politik perlu dizahirkan melalui demonstrasi jalanan besar-besaran untuk menyokong Najib.
Mereka menegaskan Malaysia adalah sebuah negara demokrasi berperlembagaan, bukan negara yang ditentukan oleh tekanan jalanan.
“Keberanian politik bukan diukur melalui kekecohan di jalan raya. UMNO memilih saluran sah, proses mahkamah, petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong dan perbahasan Parlimen kerana menghormati Perlembagaan,” kata mereka.
Mereka juga mempersoalkan dakwaan bahawa majoriti rakyat Malaysia percaya Najib bersalah dan wajar dipenjarakan, sambil menegaskan dalam negara berteraskan kedaulatan undang-undang, rasa bersalah atau tidak hanya ditentukan oleh mahkamah, bukan sentimen awam.
“Jika keadilan ditentukan oleh emosi majoriti, maka peranan mahkamah menjadi tidak bermakna. Ini asas undang-undang yang sepatutnya difahami oleh seorang ahli akademik,” tegas kenyataan itu.
Berhubung dakwaan isu Najib bukan isu perkauman, penyokong Najib berpandangan bahawa melabelkan kebimbangan politik orang Melayu sebagai perkauman hanya bertujuan mengecilkan ruang perbincangan dan menutup suara politik tertentu.
Mereka turut menolak seruan supaya UMNO keluar kerajaan sebagai ‘ujian keberanian’, dengan menegaskan bahawa keluar kerajaan tanpa perancangan hanya akan membawa kepada ketidakstabilan politik, dasar tergendala dan kesan negatif kepada ekonomi serta rakyat.
“Kestabilan negara bukan medan eksperimen politik. Tadbir urus menuntut tanggungjawab, bukan tindakan populis,” menurut kenyataan itu.
Malag mereka menegaskan isu sebenar yang perlu diberi perhatian ialah integriti institusi negara.
Mereka memberi amaran bahawa apabila keputusan mahkamah ditafsir melalui emosi politik dan diraikan sebagai kemenangan atau kekalahan politik, keyakinan rakyat terhadap kedaulatan undang-undang akan terhakis.
“Malaysia tidak memerlukan wacana toksik penuh tuduhan. Apa yang diperlukan ialah analisis adil, berfakta dan matang. Malangnya, dalam isu ini, James Chin telah kehilangan integriti keintelektualannya,” tegas kenyataan itu.










