UMNO Buka ‘Rumah Bangsa’, Parti Kecil, Bekas Lawan Dijemput Masuk

KUALA LUMPUR: UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada penyatuan Melayu apabila menubuhkan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang dipersetujui sebulat suara oleh perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa itu, manakala bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Abdul Ghani Othman pula dilantik mengetuai Musyawarah Nasional.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kedua-dua pelantikan itu mendapat sokongan penuh perwakilan kerana melibatkan urusan penting berkaitan perlembagaan dan hala tuju parti.

Penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa dicadangkan Ahmad Zahid dalam ucapan dasar Presiden UMNO bagi membuka ruang kepada ahli lama, bekas ahli, individu profesional serta pertubuhan politik dan NGO Melayu untuk kembali atau menyertai UMNO secara beramai-ramai.

Dalam masa sama, Musyawarah Nasional diwujudkan untuk membincangkan agenda besar orang Melayu merangkumi soal agama, politik, ekonomi, pendidikan, perpaduan dan masa depan generasi akan datang.

Perwakilan PAU 2025 turut bersetuju melantik Ahmad Zahid sendiri sebagai Pengerusi Majlis Perundingan Ummah, sebuah badan yang diluluskan Kabinet dan bakal digerakkan dengan 11 kluster melibatkan pemikir strategik, ulama, ahli akademik, NGO, tokoh korporat serta pemimpin politik rentas parti.

Menurut Ahmad Zahid, Majlis itu akan dilancarkan secara rasmi bulan depan bagi membincangkan isu-isu besar berkaitan umat Islam di Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau mendedahkan terdapat parti-parti kecil yang telah menyatakan hasrat untuk diserap masuk ke dalam UMNO.

“Ada parti kecil mahu menyertai kita. Presiden IKATAN, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir sendiri menyatakan kesediaan menyerahkan partinya untuk diserapkan.

“Ada juga parti yang dahulu bermusuh dengan kita, tetapi pemimpinnya sudah ‘bertaubat’ dan mahu kembali kepada UMNO. Kita terima mereka,” katanya.

Ahmad Zahid turut memberi jaminan isu pembahagian kerusi tidak akan menjejaskan ahli sedia ada.

Beliau menegaskan kuasa menandatangani watikah calon masih di tangannya sebagai Pengerusi Barisan Nasional.

“Kalau mereka sertai kita dan kebetulan kerusi itu milik mereka sebelum ini, saya yang akan buat keputusan. Percayalah, saya tak akan zalimi sesiapa,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles