KUALA LUMPUR: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi memaklumkan pihaknya sedia mempertimbangkan sebarang rayuan yang dikemukakan ahli yang dikenakan tindakan disiplin, selaras dengan Fasal 20.12 Perlembagaan UMNO.
Mesyuarat yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu antara lain menjadi tumpuan susulan isu penggantungan bekas Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
UMNO Bahagian Sembrong sebelum ini mencadangkan penggantungan Hishammuddin ditarik semula bagi memperkukuh parti menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Bagaimanapun Ahmad Zahid berkata, sehingga kini Ahli Parlimen Sembrong itu masih belum mengemukakan sebarang rayuan atau permohonan maaf berhubung penggantungan selama enam tahun yang bermula Januari 2023.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataan berkata, UMNO juga berpandangan tidak wajar parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan mengambil ahli daripada komponen lain bagi mengelak timbul prasangka dan ketidakharmonian.
Dalam perkembangan lain, mesyuarat turut memutuskan tarikh baharu Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 akan dianjurkan pada 26 hingga 29 November depan, berbanding jadual asal pada Ogos, bagi memberi ruang persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah.
Selain itu, mesyuarat juga akan melaksanakan kajian separuh penggal terhadap keberkesanan serta prestasi Kerajaan Perpaduan termasuk pencapaian pemimpin UMNO dalam kerajaan dan agensi berkaitan.