UMNO Boleh Pengaruhi Gesaan Untuk PRU-15

UMNO boleh mempengaruhi dari sudut politik bagi mendesak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan biarpun penentuan PRU membabitkan perancangan pihak lain.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, berkata secara teknikal dan mengikut Perlembagaan Persekutuan, kuasa menentukan pembubaran Parlimen dan PRU terletak di tangan Perdana Menteri selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“UMNO boleh mempengaruhi dari sudut politik kerana umum sedia maklum jumlah blok Ahli Parlimen UMNO yang selama ini mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Dewan Rakyat.

“Namun, penentuan PRU bukan semata-mata di tangan UMNO dan selain UMNO bertindak, pihak lain juga ada perancangan dan tindakan balas. Semua ini akan diteliti oleh MKT (Majlis Kerja Tertinggi),” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau malam tadi.

Mesyuarat MKT UMNO akan berlangsung malam ini dengan agenda perbincangan dijangka menjurus kepada sokongan parti itu kepada PN serta usul penolakan kerjasama UMNO dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang dikemuka ketika mesyuarat UMNO bahagian di seluruh negara pada Jumaat hingga Ahad lalu.

Mengulas lanjut, Shahril berkata, pendirian UMNO ketika ini adalah untuk kerajaan mengembalikan mandat kepada rakyat secepat mungkin.

Beberapa pemimpin UMNO sebelum ini berulang kali menggesa supaya PRU diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan kerajaan lebih stabil dibentuk selepas pilihan raya, ekoran mandat kerajaan PN ketika ini yang hanya berbeza dua hingga tiga kerusi dengan pembangkang.

Dalam pada itu, Shahril menjelaskan jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) dan Setiausaha Agung Bersama Muafakat Nasional (MN) adalah jawatan lantikan.

“Pertukaran jawatan lantikan adalah hak presiden parti bergantung kepada kebijaksanaan beliau. Hari ini, presiden sudah melantik Datuk Seri Ahmad Maslan. Bagi saya, ia tidak sedikit pun mengurangkan jasa Tan Sri Annuar Musa kepada parti selama ini.

“Termasuklah dalam penggal mencabar ini, di mana beliau sudah menguruskan operasi banyak PRK (Pilihan Raya Kecil) dan PRN (Pilihan Raya Negeri) di mana UMNO beroleh kejayaan. Tidak wajar kita melupakan jasa itu, malah presiden sendiri mengungkapkan penghargaan beliau dalam ucapan tadi (semalam),” katanya.

Beliau berkata, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh dan Menteri Wilayah Persekutuan masih kekal ahli UMNO biarpun sebelum ini sering mengeluarkan kenyataan berlainan arus dengan kepimpinan tertinggi.

“Benar, lewat ini Annuar dilihat berlainan arus dan tegas dengan pendiriannya dalam beberapa hal yang kurang disenangi ramai dalam parti.

“Tetapi setakat hari ini, beliau masih orang UMNO dan saya yakin beliau kekal setia bersama parti walaupun tanpa jawatan pusat. Selagi beliau kekal setia, pengalaman dan kebijaksanaan beliau tetap harus menjadi aset parti,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles