KUALA LUMPUR: Perkembangan terbaru dalam UMNO tidak perlu diratapi dan perlu dilihat sebagai satu perkara biasa untuk memperkukuhkan parti pada masa hadapan, demikian menurut Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh.
Apa yang penting, ahli di semua peringkat seharusnya melihat situasi itu sebagai semangat yang akan menguatkan lagi perjuangan mereka dalam usaha melahirkan lebih ramai pemimpin berwibawa.
“Pemecatan mahu pun penggantungan pemimpin parti ini adalah biasa dan kita perlu yakin UMNO adalah wadah yang dapat melahirkan lebih ramai pelapis untuk menyertai pucuk kepemimpinan parti.
“Kalau kita kehilangan pemimpin muda seperti KJ (Khairy Jamaluddin) dan Shahril (Sufian) Hamdan, saya percaya UMNO mampu melahirkan 10 lagi `KJ’ dan 10 `Sharil Hamdan’ yang lebih setia pada masa akan datang,” katanya.
Muhamad Akmal, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau yakin kekuatan dan kesetiaan yang ada pada pemimpin akan datang mampu menjadikan UMNO bangkit kembali walaupun perlu berhadapan tugas sukar kelak.
“Sudah sampai masanya UMNO memberi ruang dan peluang kepada orang muda untuk diketengahkan sebagai pemimpin pelapis bagi menarik kembali sokongan pengundi muda menjelang PRU akan datang,” katanya.
Untuk rekod, Mesyuarat MKT pada Jumaat lalu memutuskan memecat bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar berikutan pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain antaranya Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden parti, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangannya, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.
Turut dikenakan tindakan sama adalah bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Mohd Sharif, dan Ketua Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang selain lima ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang, sembilan ahli UMNO Bahagian Putrajaya, dua ahli UMNO Bahagian Tanjung Karang dan 26 ahli UMNO dari negeri Pahang.
Antara kesalahan mereka ialah menjadi calon bebas, calon parti selain Barisan Nasional (BN), dan terlibat membantu parti lawan ketika PRU15.
Muhamad Akmal turut menafikan dakwaan UMNO akan kelihatan lemah selepas pemecatan dan penggantungan keahlian pemimpin terbabit.
Tegasnya parti itu sudah melalui pelbagai fasa kepemimpinan sejak penubuhannya pada 1946.
“Kita dah lalui pelbagai fasa dan suasana, ada pemimpin yang dipecat dan kembali ke kancah politik sebagai Perdana Menteri seperti Tun Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Inilah dinamika politik yang bukan sahaja berlaku dalam UMNO namun juga berlaku dalam parti lain apabila ada ahli yang dipecat disebabkan tidak setuju dengan presiden mereka,” katanya.