UMNO Boleh Bangkit Semula Jika Bersama Islam, Dampingi PAS

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menasihatkan UMNO untuk kembali kepada syiar Islam, sekiranya parti itu mahu memulihkan kembali perjuangan dan kegemilangannya.

Beliau menyifatkan kekalahan UMNO pada PRU15 yang lalu merupakan satu ‘panggilan’ untuk ia melakukan taubat.

“Musibah adalah hukuman ringan, pengajaran, jalan taubat dan lebih hebat, meninggikan darjat.

“Hukuman berat hanyalah dengan musibah kematian. UMNO terkena musibah pada PRU14, tetapi tidak mati. Justeru ia adalah pengajaran dan jalan taubat yang perlu dilalui,” kata Nik Abduh.

Bekas Ahli Parlimen Bachok itu juga mendakwa kekalahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) secara keseluruhannya disebabkan perpecahan yang berlaku dalam parti itu.

“Jenama BN yang terlalu lama, kusam dan tiada sentuhan pembaharuan. Berbanding Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) yang lebih muda, baru dan menarik ia lebih kuat untuk menarik pengundi baru. Tua adalah kejatuhan.

“Perpecahan dalaman yang tidak diubati. Apabila anda masuk gelanggang dengan hati yang terpecah-pecah, anda tidak akan menang. Perpecahan adalah kekalahan.

“Kedua-dua faktor di atas adalah sunnah dan aturan Allah di dalam jatuh bangun hidup manusia,” katanya

Katanya, UMNO telah menunjukkan tekad untuk berubah melalui pindaan dalam perlembagaan parti yang meletakkan Islam di tempat utama.

Malangnya menurut Nik Abduh perpecahan dalaman, kekalutan perebutan kuasa dalam kerajaan selepas PRU14 serta persaingan dengan Bersatu telah memalapkan usaha-usaha untuk meneguhkan semangat Islam di dalam UMNO.

“Adakah itu hipokrit? Allahlah yang maha tahu. Saya tidak akan menghukum.

“Bagi saya, pilihan UMNO untuk bersama PH adalah tindakan terdesak akibat hilangnya keyakinan terhadap PN, bukan terhadap Islam,” katanya.

Nik Abduh percaya, bagi memperbaiki diri UMNO juga perlu mendampingi rakan yang baik iaitu PAS.

Ini kerana parti pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang itu komited terhadap Islam berbanding parti lain.

“Apabila anda bertaubat dan ingin membaiki diri, anda perlu mendampingi rakan yang baik. Pesakit mesti bersama doktor.

“Jika hanya bersama pesakit sepertinya, mereka akan saling mengeluh dan putus asa. Jika bersama bomoh serba tahu, dia akan diberi penawar beracun. Mati.

“Justeru UMNO mesti bersama PAS. Ia kerana Pas. adalah lebih mendahului parti yang lain di dalam komitmennya untuk Islam,” katanya.

Malaj salah faham antara UMNO dan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) suatu ketika dahulu boleh diselesaikan.

“UMNO masih dua kumpulan. Kumpulan mana yang akan memimpin nanti, saya konsisten mengajak mereka untuk bersama PAS membina negara. Antara pantang saya, masuk campur urusan dalaman orang.

“Segala salah faham boleh diselesaikan. Kemenangan besar bukan dengan membunuh, tetapi dicapai dengan perdamaian. Bukankah begitu ‘fathu Makkah’?

“Politik negara telah menzahirkan pelbagai kepelikan. Ia bermaksud tiada yang mustahil dalam politik. Biarlah kalau mulut kuat sembang. Jangan pula muka yang tersembam,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles