UMNO/BN Pertahankan Kesetiakawan bersama Sekutu MN Dan PN

UMNO dan Barisan Nasional (BN) memberi jaminan akan mempertahankan semangat setiakawan bersama sekutu-sekutunya dalam pakatan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional (PN) susulan keputusan penghakiman kes SRC International melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu juga akan menangani keputusan penghakiman ini dengan cara yang terbaik memandangkan ianya telah melalui proses perundangan dalam sistem kehakiman negara.

Menurutnya, adalah amat jelas UMNO dan BN serta kerajaan PN tidak campur tangan dalam proses penghakiman.

“Kejujuran, keikhlasan dalam perkongsian kuasa serta persahabatan tetap menjadi prinsip utama dan akan dipertahankan.

“Kita akan terus memberi penerangan kepada ahli-ahli mengenai kedudukan perkara sebenar berhubung kes ini.

“Sudah tentu kita menghormati keputusan yang dibuat oleh Yang Arif Hakim (Mahkamah Tinggi) namun penelitian perlu dibuat terhadap kemungkinan wujudnya kekhilafan dari sudut perundangan dan fakta,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya malam tadi.

Ahmad Zahid berkata, UMNO dan BN turut menganggap penghakiman kes SRC International melibatkan Najib sebagai suatu yang perlu diberi ketelitian dan perhatian serius.

Menurutnya, proses pengadilan di Mahkamah Tinggi sudah selesai tetapi Ahli Parlimen Pekan itu ada hak untuk membuat rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan berhubung sabitan dan hukuman.

“Ianya adalah hak setiap rakyat yang dijamin di dalam Perlembagaan dan sistem perundangan negara.

“UMNO dan BN akan memastikan proses mendapat keadilan di semua peringkat itu berjalan lancar dan benar-benar bebas serta adil tanpa wujudnya unsur-unsur campur tangan oleh mana-mana pihak,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menjatuhkan hukuman penjara 72 tahun dan denda RM210 juta ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Berita Berkaitan

Komen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Advertisment

Terkini