UMNO, BN Dekati Pengundi Muda Melalui Media Sosial

JOHOR BAHRU: Dalam usaha memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang, UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan menumpukan penggunaan media sosial, terutama Facebook serta TikTok, untuk mendekati dan menarik perhatian golongan pengundi muda.

Menurut Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Seri Dr Adham Baba, pendekatan itu antara yang diperhalusi pihaknya untuk mendekati pengundi muda di Johor, susulan pendaftaran automatik Undi18.

UMNO dan BN melihat keperluan strategi berkenaan seiring dengan pertambahan jumlah golongan muda yang akan kali pertama mengundi.

“UMNO dan BN sudah mula menggunakan media sosial secara meluas sejak PRN Melaka lagi.

“Selain Facebook dan TikTok, kita juga akan menggunakan keseluruhan platform media sosial untuk menyantuni pengundi, khususnya golongan muda susulan pengenalan Undi18.

“Kita melihat pengundi, khususnya golongan muda, cenderung untuk menggunakan Facebook dan TikTok berbanding medium lain. Justeru, kita akan memberikan tumpuan kempen ke arah itu,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat BN Comms Johor di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Johor, semalam.

Mengulas lanjut, Dr Adham yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, usaha memperkasakan kempen pada PRN Johor kali ini dilaksana dengan menggunakan media sosial secara lebih meluas susulan jumlah pengundi muda kini mencecah hampir 750,000.

“Ia menjadikan pengundi di negeri ini meningkat kepada 2.5 juta berbanding hanya 1.8 juta pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, kesemua 26 bahagian UMNO Johor telah bersiap sedia bagi mengaktifkan bilik gerakan menghadapi PRN kali ini.

“UMNO juga sudah menyiapkan segala bahan penerangan sebagai persediaan kempen, terutama penjelasan pelbagai isu supaya ia dapat disampaikan secara berkesan kepada pengundi nanti,” katanya.

Seterusnya, Dr Adham berkata, UMNO Johor perlu meneliti prosedur operasi standard (SOP) yang akan dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), supaya menjadi garis panduan bagi melancarkan jentera parti untuk berkempen.

“Kita berharap SPR akan memperincikan dari aspek sekatan dan kebebasan penggunaan medium media sosial.

“Ini kerana akaun TikTok dikendalikan Puteri UMNO Johor telah menerima 10 laporan sehingga disekat sementara, sedangkan kandungan video yang dimuat naik membabitkan penjelasan isu semasa dan tidak berunsur provokatif,” katanya.

Justeru, beliau berkata, SPR serta Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) diminta untuk memberi penjelasan berhubung perkara itu.

BBerkaitan

Latest articles