UMNO Berpandangan Tiada Keperluan PRN Di Kedah

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) berpendirian tidak ada keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, PRN tidak boleh diadakan sesuka hati tanpa sebab yang munasabah.

“Kita jangan main dengan PRN, ini bukan perkara yang sahaja-sahaja kita boleh buat melainkan ada keperluan untuk kita mengadakan pilihan raya.

“Saya tidak nampak ada keperluan untuk berbuat demikian, PRN Melaka bukan kita yang buat, PRN disebabkan oleh empat ADUN keluar dari berikan sokongan maka BN kehilangan majoriti jadi mahu atau tidak terpaksa dibubarkan DUN,” katanya.

Beberapa hari lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan dakwaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah akan dibubarkan susulan penarikan sokongan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terhadap kepimpinannya hanya khabar angin.

Meskipun begitu, Mohamad tidak menolak  sebarang kemungkinan boleh berlaku selepas PRN Johor diadakan.

“Saya tidak tahu situasi di Kedah, saya cuma di ibu pejabat.

“Jika ada berlaku apa-apa di Kedah jangan salahkan saya. Tapi buat masa ini saya tidak dengar apa-apa cerita,” katanya kepada media selepas Majlis Sambutan Tahun Baru Cina anjuran MCA, hari ini.

Turut hadir Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang enggan memberikan sebarang komen kepada media.

BBerkaitan

Latest articles