UMNO Berduka, Pak Lah Mentor Kepada Ramai Pemimpin Parti

KUALA LUMPUR: UMNO menzahirkan rasa dukacita atas pemergian bekas Perdana Menteri dan Presiden keenam parti itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia hari ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Allahyarham sebagai seorang mentor yang dihormati dan banyak membuka ruang dalam perjalanan awal kerjaya politiknya.

“Bimbingan dan kepercayaan yang beliau berikan menjadi antara asas penting yang membentuk diri dan arah langkah saya hingga ke hari ini,” kata Zahid dalam satu kenyataan.

Zahid turut menyatakan bahawa sumbangan Tun Abdullah, termasuk pengenalan konsep Islam Hadhari, akan sentiasa terpahat dalam sejarah negara sebagai sebahagian daripada warisan kepimpinan beliau.

Sementara itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menggambarkan Tun Abdullah sebagai seorang anak watan yang berjiwa besar dan meletakkan kepentingan negara melebihi segala-galanya.

“Walaupun pada akhir hayatnya beliau tidak berada dalam keadaan kesihatan yang terbaik, seluruh negara tetap akan merasai kehilangannya,” ujar beliau.

Tun Abdullah memegang jawatan Presiden UMNO dari Oktober 2003 hingga Mac 2009, menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad dan kemudiannya menyerahkan kepimpinan kepada Datuk Seri Najib Razak.

Pemergian Tun Abdullah, yang mesra dikenali sebagai ‘Pak Lah’, meninggalkan legasi kepimpinan sederhana, berhemah dan berprinsip tinggi yang terus dikenang rakyat Malaysia.

BBerkaitan

Latest articles