MASJID TANAH: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan parti itu belum memuktamadkan sebarang kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) sama ada BERSATU mahu pun PAS dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ujarnya perkara itu hanya akan dimuktamadkan menjelang hari penamatan calon PRN Melaka pada 8 November ini.
“Keputusan muktamad untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan mana-mana belum diputuskan secara rasminya.
“Keputusan muktamad ini kita akan umumkan apabila (selepas) mesyuarat Biro Politik dan juga Majlis Tertinggi UMNO.
“Ia akan diikuti dengan oleh mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang akan kita adakan Insya-Allah pada minggu depan atau tarikh-tarikh sebelum hari penamatan calon PRN Melaka,” katanya selepas melancarkan jentera pilihan raya UMNO Melaka bagi menghadapi PRN Melaka pada 20 November ini, semalam.