KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terus mengkritik UMNO dengan berkata parti itu mampu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
Bagaimanapun kemenangan itu, menurut Pengerusi Pejuang itu, adalah disebabkan UMNO mempunyai ‘banyak wang’.
Dr Mahathir berkata demikian dalam satu wawancara bersama Nikkei, seperti yang dilaporkan FMT.
Ahli Parlimen Langkawi itu juga berpandangan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak akan kembali menjadi Perdana Menteri selepas PRU15.
“Akan berlaku (konflik dalaman) kerana saya pasti mereka tidak mahu Perdana Menteri sedia ada dikekalkan,” katanya, hari ini.
Untuk rekod pada 26 September lalu, Naib Presiden UMNO, Datuk Mahdzir Khalid mengesahkan bahawa Ismail Sabri masih calon Perdana Menteri dan ‘poster boy’ BN, seperti yang telah diputuskan dalam mesyuarat parti.
Namun, Dr. Mahathir berpandangan, UMNO mungkin mencalonkan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk menyandang jawatan tertinggi dalam pentadbiran negara itu.
“Beliau yang paling kurang terlibat dengan jenayah,” jelasnya.