KUALA LUMPUR: PAS menegaskan kedua-dua rakan kerjasamanya iaitu UMNO dan Bersatu perlu mengadakan perbincangan bagi mendapatkan kata sepakat untuk mewujudkan muafakat politik dalam menghadapi pilihan raya.
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Ibrahim memaklumkan parti itu tidak sama sekali patut diberi kata dua untuk memilih sama ada bekerjasama dengan UMNO atau Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau turut menyorot permusuhan PAS dan jika dibandingkan dengan Bersatu.
Bagaimanapun tidak mustahil untuk kedua-dua parti itu mencapai kata sepakat menerusi perbincangan yang dilakukan.
“Dua-dua perlu duduk bersama sebab Bersatu sebahagian besar adalah bekas pimpinan UMNO sebelum ini kalau kira sejarah politik Pas lebih lama berlawan dengan UMNO dibanding dengan Bersatu, saya fikir ada ruang untuk duduk berbincang. Kita perlu adakan perjumpaan.
“Bagi kita umat kena bersatu semua pihak. Khususnya Perikatan Nasional (PN) dan BN untuk lihat masa depan. Saya fikir tidak boleh ultimate (minta PAS beri kata putus). Tapi kena tengok masa depan,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata pihaknya bersedia untuk meneruskan perbincangan dengan UMNO dan Bersatu sehingga muafakat politik tercapai.
“PAS bersedia bersama-sama untuk perteguh penyatuan ummah dengan parti-parti utama dalam Malaysia.
“Tapi kestabilan hanya boleh dicapai bila ada muafakat politik. Tanpa muafakat politik pengalaman kita sebelum ini akan berulang,” ujarnya.
Ditanya tentang dakwaan PAS cuba bermain dua kolam apabila tidak mahu memutuskan untuk bekerjasama dengan UMNO dan Bersatu demi kepentingan parti, Tuan Ibrahim memberitahu, parti tersebut lebih mengutamakan penyatuan ummah.
“Kalau gagasan untuk penyatuan ummah tidak ada siapa tidak setuju. Semua setuju. Rakyat pun nak tengok begitu kita perlu kestabilan politik bukan soal dia kolam atau tiga kolam, yang penting peranan,” tambah beliau.
Baru-baru ini Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan Barisan Nasional (BN) adalah sekutu terhadap Perikatan Nasional (PN) dan mendesak PAS memuktamadkan sama ada mengekalkan kerjasama dengan perikatan berkenaan atau masih ada persefahaman dengan UMNO.