KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) memulakan siasatan dalaman susulan dakwaan tular di media sosial yang mengaitkan seorang pensyarah kanan institusi itu sebagai pengikut Freemason.
Dalam satu kenyataan hari ini, pihak universiti memaklumkan bahawa siasatan tersebut dijalankan bagi mendapatkan gambaran menyeluruh berhubung isu berkenaan, selain memastikan setiap aspek diteliti secara adil dan telus.
Proses itu juga, menurut UM, akan dilaksanakan selaras dengan undang-undang serta peraturan universiti yang sedang berkuat kuasa.
UM turut menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, kerana ia boleh menjejaskan integriti siasatan serta privasi individu yang terlibat.
“Orang ramai dinasihatkan supaya memberi ruang sepenuhnya kepada proses siasatan ini,” menurut kenyataan tersebut.
Universiti berkenaan menegaskan komitmen mereka untuk menangani isu itu secara profesional dan beretika, selaras dengan prinsip tadbir urus yang baik serta tanggungjawab sebagai institusi pendidikan tinggi terkemuka negara.










