‘Ulat’ KLIA Boleh Dilucut Hak

SEPANG: Aktiviti haram kereta sewa tidak berlesen atau dikenali sebagai ‘ulat’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA dan KLIA2) kini berdepan tindakan lebih tegas, termasuk pelucutan hak kenderaan.

Langkah drastik ini mula dikuatkuasakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor pada 11 Jun lalu, menjadikannya tindakan pertama seumpamanya diambil terhadap sindiket ulat yang semakin berani beroperasi secara terbuka.

Menurut Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ, individu pertama yang ditahan telah didakwa di bawah Seksyen 205 Akta Pengangkutan Jalan, dan dijatuhi hukuman denda sebanyak RM5,000.

“Sudah tiba masa untuk tindakan tegas diambil bagi memutuskan rangkaian aktiviti haram ini,” tegas beliau dalam satu sidang media khas Ops Ulat KLIA, semalam.

Turut hadir dalam operasi bersepadu itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran dan Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan.

JPJ turut mengumumkan bahawa mereka yang ditangkap sebanyak tiga kali kerana menjadi ulat akan disyorkan untuk dilucut hak kenderaan mereka.

Bagi warga asing, tindakan lebih tegas dikenakan pelucutan hak boleh dibuat pada kesalahan pertama.

Menurut Muhammad Kifli, pelucutan hak juga akan dikenakan terhadap kenderaan awam seperti teksi yang terlibat dalam aktiviti sama.

“Kalau sebelum ini mereka hanya ditangkap, didakwa dan kemudian dibebaskan, kali ini kita ubah strategi. Kita terus lucut hak kenderaan mereka,” katanya lagi.

Langkah ini, katanya, diambil kerana sebahagian daripada ‘ulat’ ini mampu membayar denda hasil pendapatan lumayan, dengan caj penghantaran dikenakan mencecah RM80 hingga RM150 untuk ke Kuala Lumpur, jauh lebih mahal berbanding caj teksi berlesen yang hanya sekitar RM65 hingga RM80.

JPJ memaklumkan bahawa sebanyak 80 tangkapan telah dilakukan setakat tahun ini.

Daripada jumlah itu, 69 kes melibatkan kenderaan persendirian, manakala 10 lagi menggunakan kenderaan perkhidmatan awam.

BBerkaitan

Latest articles