KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, mengingatkan DAP agar tidak “menunjukkan taring” dengan memberi bayangan mahu meninggalkan Pakatan Harapan (PH) susulan kekalahan teruk gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Bekas Pengerusi PKR Johor itu menyifatkan sebarang ugutan untuk keluar daripada PH sebagai satu kesilapan besar, apatah lagi apabila DAP cuba mengaitkan kegagalan tersebut dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atau PKR.
Menurut Hassan, kekalahan di Sabah perlu ditanggung secara bersama kerana PH adalah sebuah kerajaan campuran yang melibatkan pelbagai parti, bukan hanya PKR semata-mata.
Malah katanya, DAP sendiri adalah sebahagian daripada kerajaan dan Kabinet, sama seperti UMNO dan Warisan.
“Kalau kalah, jangan cari kambing hitam. PKR pun kalah. Ini tanggungjawab bersama, bukan alasan untuk ugut keluar gabungan,” tegasnya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada seorang anggota polis yang terlibat kemalangan di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang.
Hassan turut mengingatkan DAP supaya tidak mengamalkan sikap ‘habis madu sepah dibuang’ dengan meninggalkan PH hanya kerana merasakan peluang kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) semakin tipis.
Katanya, sejarah membuktikan DAP beberapa kali keluar daripada gabungan politik selepas gagal membentuk kerajaan.
Beliau mengimbas kembali penyertaan DAP dalam Gagasan Rakyat bersama Semangat 46 pada pilihan raya 1990 dan 1995, sebelum parti itu meninggalkan gabungan berkenaan selepas tewas.
Perkara sama berlaku ketika era Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat apabila DAP memilih keluar selepas tidak berjaya membentuk kerajaan persekutuan.
“Bila nampak peluang menang, DAP masuk. Bila kalah atau peluang pudar, mereka keluar. Itu corak yang berulang,” katanya, sambil menegaskan bahawa PKR adalah satu-satunya parti yang konsisten kekal dalam gabungan pembangkang sehingga tertubuhnya PH.
Sehubungan itu, Hassan memberi amaran bahawa tindakan meninggalkan PH boleh membawa kesan besar kepada landskap politik negara.
Menurutnya, jika PH berpecah, kuasa politik mungkin kembali dikuasai sepenuhnya oleh gabungan parti-parti Melayu, sekali gus menjadikan DAP sekadar pembangkang tanpa pengaruh.
Beliau menasihatkan DAP supaya menyelesaikan sebarang perbezaan melalui perbincangan dan mesyuarat, bukannya dengan tekanan politik atau ugutan.
Dalam PRN Sabah yang berlangsung pada 29 November lalu, PH hanya memenangi satu kerusi, iaitu Melalap menerusi calon PKR, manakala DAP tewas di kesemua lapan kerusi yang ditandingi.
Susulan keputusan itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, memberi tempoh enam bulan kepada kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan institusi, sambil menyatakan parti itu akan menilai semula kedudukannya dalam Kabinet jika tuntutan tidak dipenuhi, walaupun kekal menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.










