PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan sebarang cadangan berhubung pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak boleh dibuat atas desakan politik atau tuntutan sempit mana-mana pihak, sebaliknya mesti berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara serta Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kerajaan kekal konsisten mempertahankan kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa ilmu yang menjadi teras pembinaan jati diri serta perpaduan negara.
Beliau turut menyokong pendirian Perdana Menteri bahawa semua aliran pendidikan, termasuk sekolah Cina, Tamil, Arab, Inggeris dan antarabangsa wajib memperkukuh penguasaan bahasa Melayu tanpa sebarang pengecualian.
Menurut Zambry, prinsip itu merupakan asas negara yang tidak boleh dikompromi dan perlu dipatuhi oleh seluruh sistem pendidikan.
Penegasan itu selari dengan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengingatkan bahawa sebarang tuntutan melibatkan isu sensitif agama, bangsa dan kaum mesti mengambil kira kedudukan bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Perlembagaan.
Kenyataan tersebut dibuat susulan laporan bahawa DAP berhasrat bertemu Perdana Menteri bagi membincangkan pengiktirafan UEC.
Mengulas lanjut, Zambry berkata KPT akan terus memperkukuh hala tuju pendidikan tinggi negara yang inklusif, progresif dan berdaya saing.
Katanya, penekanan utama akan kekal kepada penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa teras, teknologi dan ilmu, di samping memperkasa penguasaan bahasa Inggeris serta bahasa lain seperti Mandarin, Tamil, Arab dan bahasa etnik.
Usaha itu bertujuan melahirkan bakat nasional yang berbilang bahasa, seimbang, berteraskan nilai kenegaraan dan mampu bersaing di peringkat global.










