UEC, Sekolah Antarabangsa Perlu Patuhi Syarat Bahasa Melayu, Sejarah – Zambry

KUALA LUMPUR: Isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak dinilai secara berasingan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada pendekatan menyeluruh terhadap semua aliran pendidikan di luar sistem kebangsaan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, langkah kerajaan adalah memastikan semua sistem pendidikan bukan nasional termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama dan sekolah Arab memenuhi syarat asas sebelum dipertimbangkan ke universiti awam.

Menurutnya, antara syarat utama ialah pengajaran Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia mengikut kurikulum kebangsaan.

“Syarat ini bukan hanya untuk UEC, tetapi melibatkan semua sistem pendidikan yang berada di luar arus perdana pendidikan nasional,” katanya selepas Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zambry menjelaskan, pendekatan ini bertujuan mengelakkan isu pendidikan dilihat dari sudut kaum atau aliran tertentu, sebaliknya mencari penyelesaian yang adil dan menyeluruh.

Kerajaan juga akan menyelaraskan peranan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), memandangkan SPM di bawah KPM menjadi asas kepada sistem pendidikan tinggi.

Tambahnya, keputusan perdana menteri bukan bermaksud UEC disekat sepenuhnya, tetapi sebagai langkah awal untuk menilai dan menyelaras semua sistem pendidikan secara sistematik.

Zambry turut memberi jaminan bahawa kerajaan memberi perhatian serius terhadap pelan pendidikan 10 tahun akan datang bagi melahirkan generasi muda yang berdaya saing dan relevan dengan keperluan masa depan negara.

BBerkaitan

Latest articles