GEORGE TOWN: Kerajaan memberi jaminan bahawa sebarang keputusan berkaitan isu pendidikan, termasuk pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), akan dibuat secara berhati-hati dengan mengambil kira keseluruhan landskap sistem pendidikan negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, isu UEC tidak boleh dinilai secara terasing kerana ia berkait rapat dengan ekosistem pendidikan yang melibatkan pelbagai aliran di luar kurikulum kebangsaan.
Menurut beliau, kerajaan sedar wujud pelbagai pandangan dan pendirian daripada masyarakat serta pihak berkepentingan, namun semua pandangan itu akan diteliti secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan demi kepentingan awam.
“Tidak mengapa setiap pihak ada pandangan masing-masing. Tetapi apabila kerajaan membuat keputusan, ia dibuat setelah semua aspek dipertimbangkan secara mendalam,” katanya selepas menghadiri Program Kembara Karisma Pemimpin Muda MADANI di Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.
Mengulas lanjut, Zambry menjelaskan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini telah menegaskan kepentingan penguasaan bahasa Melayu serta pemahaman Sejarah sebagai elemen asas merentasi semua sistem pendidikan, termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama dan institusi yang tidak berasaskan kurikulum nasional.
“Penegasan Perdana Menteri bukan hanya tertumpu kepada UEC semata-mata, sebaliknya melibatkan keseluruhan sistem pendidikan negara. Keperluan bahasa Melayu dan Sejarah perlu dilihat sebagai teras kepada semua aliran pendidikan,” jelasnya.
Tambah beliau, kerajaan mengambil pendekatan bersepadu bagi mengelakkan percanggahan dasar antara kementerian, sekali gus memastikan keseragaman dalam membuat keputusan.
“Kita tidak mahu satu kementerian buat keputusan berbeza dengan kementerian lain. Sebab itu perbincangan menyeluruh telah diadakan melibatkan Kementerian Pendidikan, sekolah antarabangsa, sekolah agama serta pihak berkepentingan berkaitan UEC,” katanya.
Terdahulu, sekumpulan 32 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam Melayu tampil menggesa kerajaan memansuhkan secara kekal draf Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang telah ditarik balik, selain menyuarakan bantahan terhadap sebarang usaha untuk mengiktiraf UEC secara rasmi.










