KUALA LUMPUR: Ucapan khas “Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia” yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini disifatkan sebagai lambang keprihatinan dan iltizam kerajaan perpaduan dalam memelihara kebajikan serta amanah rakyat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata ucapan dan pengumuman itu memberi penghormatan yang sewajarnya kepada rakyat Malaysia sebagai nadi kepada kestabilan negara.
“Tegas pada dasar, jelas pada hala tuju. Perdana Menteri berjaya menanam keyakinan bahawa reformasi fiskal berada di atas landasan yang betul dengan sokongan rakyat sebagai kekuatan utama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menegaskan, pelbagai langkah yang diumumkan membuktikan keberkesanan dasar Malaysia MADANI, yang menurutnya memberi manfaat menyeluruh tanpa mengira latar belakang, lokasi mahupun status sosioekonomi.
Beliau turut memuji inisiatif berskala akar umbi seperti:
• Kampung Angkat MADANI yang kini diperluaskan ke 200 kampung;
• Sasaran 1,000 Sekolah Angkat MADANI menjelang akhir 2025;
• Program Sejati MADANI bagi rakyat luar bandar;
• Dan peluasan Jualan Rahmah MADANI ke seluruh 600 kawasan DUN.
“Sebagai anak Sarawak, saya melihat sendiri makna sebenar dasar menyeluruh ini. Kenaikan harga lantai padi, insentif getah dan program akar umbi memberi kesan langsung kepada rakyat luar bandar,” katanya.
Fadillah turut menzahirkan penghargaan terhadap keberanian kerajaan menyusun semula struktur subsidi tenaga dan bahan api.
Beliau memaklumkan bahawa penyusunan semula tarif elektrik mulai Julai ini akan memberi manfaat kepada 85 peratus rakyat, yang akan menikmati penurunan bil elektrik sehingga 14 peratus.
Manakala pelaksanaan penyasaran subsidi RON95, katanya, akan membolehkan harga bahan api itu diturunkan kepada RM1.99 seliter, di samping memastikan hanya rakyat Malaysia mendapat manfaat.
“Langkah ini bukan sahaja memberikan keadilan, malah membuktikan bahawa reformasi tidak semestinya membebankan. Ia membawa kelegaan kepada majoriti rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Petra Jaya itu yang juga Menteri Bertanggungjawab Terhadap Hal Ehwal Sabah dan Sarawak menyambut baik pengumuman cuti umum tambahan pada 15 September sempena sambutan Hari Malaysia.
“Ayuh kita bersatu hati, berganding tenaga, dan terus mendukung agenda MADANI yang memberi makna kepada kehidupan rakyat.
“Dari kampung ke bandar, dari Semenanjung ke Borneo, semua rakyat berhak menikmati kemajuan yang adil dan saksama,” katanya.