U Mobile Sdn Bhd dipilih untuk melaksanakan rangkaian 5G kedua negara, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
SKMM berkata, syarikat itu di mana ahli perniagaan Vincent Tan sebagai pengerusinya, juga dibenarkan untuk bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi lain untuk melaksanakan rangkaian 5G kedua itu.
Katanya, pemilihan U Mobile melibatkan perbincangan mendalam yang merangkumi aspek teknikal dan komersial agar pelaksanaan rangkaian 5G kedua itu berjalan dengan lancar dan memberi impak positif kepada semua.
“SKMM akan terus memantau pelaksanaan rangkaian 5G kedua bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap semua keperluan peraturan seperti yang termaktub dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan.
Antara pemegang saham utama U Mobile termasuk pengasas Berjaya Group Vincent Tan; ST Telemedia dari Singapura, dan badan pelaburan kerajaan Singapura, Temasek Holdings.
Pada Julai lalu, Tan dilaporkan memberitahu Bloomberg bahawa tawaran pengambilalihan daripada Maxis telah ditolak, dan rancangan untuk penyenaraian awam U Mobile yang dinilai pada RM10 bilion sedang dipertimbangkan.
Maxis, pengendali mudah alih kedua terbesar negara yang dikawal oleh bilionair T Ananda Krishnan, dilaporkan berada dalam kedudukan utama untuk mengetuai pelancaran rangkaian 5G kedua negara itu.
Kerajaan bersetuju untuk membenarkan rangkaian 5G kedua selepas saham dalam syarikat milik kerajaan, Digital Nasional Bhd (DNB) dijual kepada Maxis, CelcomDigi, U Mobile dan YTL Communication, sementara Telekom Malaysia menunggu kelulusan pemegang saham untuk urus niaga tersebut.
Kerajaan mengekalkan pegangan saham sebanyak 30% serta saham khas dalam DNB untuk tempoh tertentu.
DNB ditubuhkan oleh kerajaan pada 2021 sebagai kenderaan tujuan khas khas untuk membangunkan rangkaian 5G negara dan menawarkan pemborong perkhidmatan 5G kepada syarikat-syarikat swasta.
Pada Mei 2023, kerajaan Pakatan Harapan mengumumkan bahawa negara akan beralih ke model 5G dua rangkaian sebaik sahaja DNB mencapai liputan 80% di kawasan berpenduduk, yang dicapai pada Disember tahun lalu.