TYT Tak Terima Imbuhan, Istana Sabah Tepis Dakwaan NGO

Dakwaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bahawa Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menyalah guna kuasa dan rasuah serta menerima imbuhan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, adalah tidak benar.

NGO Lapor SPRM, Dakwa TYT Sabah Terima Rasuah Untuk Bubarkan DUN

Demikian menurut Setiausaha Sulit Kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Abinan Asli menyifatkan tuduhan Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia sebagai berniat jahat.

“Istana Negeri dengan ini menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan yang dibuat oleh Zulkarnain Mahdar.

“Kenyataan tersebut adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali serta mengandungi niat jahat,” katanya pada sidang media di Istana Negeri Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini.

Semalam Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia Datuk Zulkarnain Mahdar membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa Tun Juhar menerima imbuhan daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang membawa kepada pembubaran DUN Sabah minggu lalu dan memaksakan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Zulkarnain juga mendakwa Istana Sabah tidak mengamalkan demokrasi apabila menolak akuan bersumpah wakil rakyat yang menyokong Tan Sri Musa Aman dan menghalang bekas ketua menteri Sabah itu untuk menghadap.

Abinan, bagaimanapun berkata Tun Juhar tidak menerima 33 akuan bersumpah seperti yang didakwa sebelum bertindak menandatangani pengisytiharan pembubaran DUN Sabah.

Malah beliau juga memberitahu bahawa pihak istana tidak menerima makluman rasmi atau tidak rasmi bahawa Musa ingin berjumpa dengan Tun Juhar.

Istana Negeri juga tidak pernah mengarahkan pihak polis untuk menyekat Musa dan rombongan memasuki kawasan istana pada 30 Julai lalu sebaliknya sekatan itu telah dibuat polis bagi mengelak perkara yang tidak diingini.

Sebaliknya Tun Juhar enggan bertemu dengan Musa selepas melihat suasana tegang di Sabah memandangkan DUN telah dibubarkan pada pagi yang sama.

“Tuan Yang Terutama (Tun Juhar) amat kesal dengan laporan tidak benar yang sedang tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp mengaitkan Tuan Yang Terutama,” katanya.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,790FollowersFollow
20,800SubscribersSubscribe

Terkini