Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berkenan mengurniakan darjah kebesaran tertinggi Sabah, Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima kepada empat pemimpin politik sempena sambutan Hari Jadi Rasmi Ke-67, hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mendahului senarai penerima darjah kebesaran, diikuti Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong.
Sementara itu, seramai 33 orang tersenarai menerima darjah kebesaran kedua tertinggi Sabah, Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk.
Antara senarai penerimanya adalah Peguam Besar Sabah, Brenndon Keith Soh; Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Julita Majungki; ADUN Bingkor, Robert Tawik dan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sipitang, Matbali Musah.
Seramai 65 orang menerima pingat Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK), diikuti Ahli Darjah Kinabalu (ADK) (94), Bintang Setia Kinabalu (BSK) (156), Bintang Kinabalu (BK) (186), Pingat Perkhidmatan Terpuji (CH) (133) dan seramai 11 penerima Jaksa pendamai (JP).
Secara keseluruhan seramai 679 orang penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan negeri Sabah sempena Hari Jadi Rasmi Ke-67 Yang di-Pertua Negeri Sabah pada tahun ini.
Sempena sambutan berkenaan, hanya istiadat pengurniaan pingat diadakan pada tahun ini yang dijadualkan di Istana Negeri pada jam 9 pagi tadi.