KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan enam individu, termasuk empat pegawai sebuah badan berkanun persekutuan dan dua pekerja agensi pelancongan, bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu tiket penerbangan bernilai kira-kira RM1.3 juta.
Menurut sumber, kesemua suspek terdiri daripada dua lelaki dan empat wanita berusia antara 30 hingga 50 tahun ditahan kira-kira jam 9.30 malam tadi di pejabat SPRM Sabah ketika hadir memberi keterangan.
Penahanan itu dibuat susulan siasatan terhadap dakwaan pengemukaan tuntutan palsu berkaitan pembelian tiket kapal terbang menggunakan waran perjalanan udara oleh jabatan terbabit dengan kerjasama sebuah agensi pelancongan.
“Siasatan awal mendapati butiran penerbangan disyaki telah dipalsukan, manakala tiada tiket penerbangan sebenar dibekalkan oleh syarikat berkenaan kepada pegawai dan kakitangan jabatan tersebut,” kata sumber itu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Fuad Bee Basrah mengesahkan penahanan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu.
“Permohonan reman terhadap kesemua suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau turut mendedahkan bahawa beberapa tangkapan susulan dijangka dibuat berdasarkan perkembangan terkini siasatan kes tersebut.










