Tun Sakaran tokoh pemimpin disegani – PM Ismail Sabri

KUALA LUMPUR — Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan Allahyarham Tun Sakaran Dandai yang meninggal dunia hari ini, sebagai seorang tokoh pemimpin yang disegani.

Mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan warga Sabah atas pemergiannya, perdana menteri berkata Yang Dipertua Negeri Sabah kelapan itu mempunyai sumbangan besar dalam pembangunan negara khususnya di Sabah merangkumi pelbagai aspek terutama dari segi sosioekonomi.

“Saya berasa amat dukacita apabila mendengar berita tentang pemergian bekas Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai pada pukul 6.00 pagi tadi.

“Saya juga mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya, diampuni segala dosa, diterima amal soleh dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” katanya dalam catatan di Facebook beliau.

Sakaran, 91, yang juga merupakan Ketua Menteri Sabah kelapan dimasukkan ke Hospital Gleaneagles, Kota Kinabalu, Sabah sejak 18 Ogos lepas kerana disyaki dijangkiti COVID-19, sebelum menghembuskan nafas terakhir di hospital berkenaan pada 5.30 pagi tadi.

Penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2017 itu memainkan peranan penting untuk negara dan Sabah khususnya dalam meningkatkan taraf sosioekonomi dan pendidikan masyarakat serta menyebarluaskan kesusasteraan Islam.

— BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles