Tun Mohamed Salleh Meninggal Dunia

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dr Mohamed Salleh Abas meninggal dunia, pada usia 92 tahun, awal pagi tadi.

Tokoh perundangan negara itu meninggal dunia pada jam 3.20 pagi tadi selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, kelmarin, menerima rawatan di hospital berkenaan selepas disahkan positif COVID-19.

Mohamed Salleh adalah Pengerusi as-Salihin Trustee Berhad.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif as-Salihin Trustee Berhad, Abdul Aziz Peru Mohamed sebelum ini dalam satu kenyataan, kelmarin mengesahkan Mohamed Salleh dijangkiti COVID-19 dan dirawat di ICU HSNZ.

“Bagaimanapun, pihak hospital mengambil langkah berjaga-jaga atas faktor umur Tun (Mohamed Salleh),” katanya.

Allahyarham yang dilahirkan di Kampung Raja, Besut menjadi Ketua Hakim Negara pada 1984 hingga 1988 dan pernah memenangi kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih atas tiket PAS pada 1999.

Allahyarham melanjutkan pendidikannya di Universiti Wales, United Kingdom (UK) pada 1949 dan memperoleh ijazahnya dalam bidang undang-undang.

Pada 1957, beliau kembali ke Malaysia dan menjadi majistret di Kota Bharu, Kelantan dan tidak lama selepas kemerdekaan pada tahun yang sama, Salleh dipindahkan ke ibu negara Kuala Lumpur di mana beliau berkhidmat

sebagai Penolong Pendakwa Raya.

Beliau melanjutkan pelajaran lagi di UK untuk memperoleh ijazah sarjananya dalam undang-undang antarabangsa dan perlembagaan di Universiti London.

Allahyarham kembali semula ke tanah air pada 1962, dan dilantik sebagai Penasihat Undang-undang dan Penolong Pendakwa Raya untuk kedua-dua Negeri Sembilan dan Melaka.

Setahun kemudian, beliau pulang ke Kuala Lumpur dan menyandang berbagai-bagai jawatan di bawah Peguam Negara, dan akhirnya dilantik sebagai Peguam Cara Negara.

BBerkaitan

Latest articles