Selepas selesai menjalani kuarantin selama 14 hari semalam, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti, malam ini.
Menerusi notis mesyuarat yang dijadualkan bermula jam 8.30 malam ini di Kuala Lumpur, bagaimanapun tidak menyenaraikan nama Tun Dr Mahathir dan anaknya untuk turut serta.
Notis mesyuarat berkenaan ditandatangani oleh Setiausaha Kerja Bersatu, Suhaimi Yahya dan menyenaraikan Muhyiddin sebagai pemangku pengerusi.
Mesyuarat malam ini menjadi mesyuarat kali kedua tanpa penglibatan Dr Mahathir dan Mukhriz selepas yang pertama diadakan bulan lepas, namun dibatalkan selepas diketahui sebagai usaha menyingkirkan dua beranak berkenaan.