Tun M Tak Tolak Kemungkinan Bertanding PRU15 Dengan Parti Baru

Selepas keahliannya dan lima yang lain digugurkan daripada Bersatu, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan untuk menubuhkan sebuah parti baru demi menghadapi pilihan raya mengejut.

Bercakap menerusi wawancara bersama portal berita perniagaan Hong Kong, iaitu Investvine, Dr Mahathir bagaimanapun mendakwa dirinya hanya menjadi ‘pembantu’ kempen ahli-ahli partinya yang akan bertanding.

“Saya akan sangat tua pada masa itu. Saya mungkin akan berada ‘di tepi-tepi’ saja, menolong orang lain, menolong parti saya sendiri untuk bertanding dan semoga (kami) dapat memperoleh beberapa kerusi.

“Tetapi parti saya sendiri (Bersatu) kini terbahagi kepada dua – satu bahagian bersama kerajaan dan satu bahagian lagi berpihak kepada saya. Mereka berusaha sedaya upaya untuk memastikan saya tidak dapat bertanding atas nama parti itu.

“Jadi kami berhadapan dengan kemungkinan perlu bertanding dengan nama parti yang berbeza, mungkin parti baru. Jadi keadaan pada masa ini sangat tidak menentu,” jawabnya.

Dr Mahathir dan empat lagi ahli parlimen, iaitu anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr Maszlee Malik dan Datuk Amiruddin Hamzah dilucut keahlian Bersatu selepas memilih duduk di blok pembangkang pada sesi Dewan Rakyat yang berlangsung sehari pada Mei lalu.

Kesemua mereka bertindak membawa hal pelucutan itu ke mahkamah bagi membuat tuntutan undang-undang.

Sementara itu dalam wawancara yang sama, Dr Mahathir mendakwa Bersatu yang kini diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengalami kekalahan dalam pilihan raya akan datang.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,868FollowersFollow
21,200SubscribersSubscribe

Terkini