Sedang tular ketika ini adalah sekeping gambar yang memaparkan pertemuan antara Tun Dr Mahathir bersama beberapa pemimpin utama parti politik di Malaysia yang dipercayai dirakam pada 23 Februari lalu.
Pertemuan berkenaan membincangkan tentang krisis politik negara, termasuk meneliti senarai cadangan Kabinet terbaru tanpa penyertaan mana-mana pemimpin DAP.
Menurut Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mohd Razlan Rafii, di dalam pertemuan tersebut juga jelas Dr Mahathir mengambil pendirian untuk meninggalkan Pakatan Harapan.
Pertemuan itu turut dihadiri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, Datuk Abang Johari Openg dan Datuk Fadillah Yusof.
“Semasa ini Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman) tak dijemput,” tulisnya.
Nama Ketua Armada Bersatu itu disebut memandangkan Syed Saddiq lantang mempertahankan Dr Mahathir kononnya bekas perdana menteri itu tidak pernah menyuarakan hasrat meninggalkan PH.
Ujar Mohd Radzlan, pendirian Dr Mahathir tiba-tiba berubah apabila mahu penglibatan DAP setelah kesemua ketua parti mengadap Yang di-Pertuan Agong.
Beliau juga menyelar tindakan Dr Mahathir yang menghantar notis usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin kepada Dewan Rakyat yang disifatkan sebagai sengaja mencetuskan porak-peranda dalam kestabulan negara dan kerajaan.
Mohd Radzlan turut mempersoal pendirian Dr Mahathir yang ‘rapuh’ setelah meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan kini sedaya-upaya hendak menjatuhkan kepimpinan Muhyiddin.