Tun M Sindir Pelaburan Berbilion Ringgit di UK

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, menyindir keputusan Malaysia melabur berbilion ringgit di United Kingdom (UK).

Secara sinis Dr Mahathir, menerusi satu hantara di media sosial menyifatkan langkah tersebut sebagai amalan biasa negara ini yang suka membantu ekonomi negara-negara kaya.

Dakwanya Malaysia cenderung membantu negara yang lebih kaya seperti UK dan Singapura, tanpa menerima balasan setimpal.

“Saya alu-alukan pelaburan berbillion ringgit supaya peluang kerja seramai 30,000 diwujudkan di UK. Ini memang cara Malaysia. Kita selalu bantu orang yang lebih kaya dari kita,” katanya.

Dr Mahathir juga menyebut bagaimana hubungan perdagangan Malaysia dan Singapura, mendakwa negara ini menjual 250 juta gelen air mentah dengan harga hanya 3 sen bagi 1,000 gelen, manakala Singapura menjual semula air yang ditapis pada harga RM36 bagi 1,000 gelen.

“Tiap tahun Singapura untung tiga bilion ringgit. Ini juga salah satu cara kita membantu negara kaya,” tambahnya.

Selain UK dan Singapura, Dr Mahathir turut menegaskan bahawa Malaysia membantu ekonomi Amerika Syarikat (AS) dengan membeli bon dolar, yang secara tidak langsung membiayai pembangunan senjata AS.

“Kita juga melabur di AS dengan membeli Dollar Bond. Ini samalah dengan memberi pinjaman kepada Amerika. Dengan duit itu AS boleh buat senjata untuk dijual di seluruh dunia termasuk kepada Israel.

“Jika Israel tidak mampu bayar, Kerajaan AS akan beli senjata dari pembuat senjata AS untuk diberikan secara percuma kepada Israel,” katanya lagi.

Dr Mahathir juga mempersoalkan sama ada pelaburan besar Malaysia di negara-negara tersebut memberikan pulangan yang setimpal kepada ekonomi Malaysia.

“Kita bantu AS sebab dia kaya. Itu dasar kita. Konon terdapat kemungkinan UK labur di Malaysia. Itu kemungkinan! Kita belum nampak pelaburan UK. Mungkin tersembunyi seperti lain kenyataan tiap kali lawatan ke luar negara. Kita tunggu Belgium dan Kesatuan Eropah,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu bagaimanapun tidak memperincikan sindiran itu kepada mana-mana pihak.

Namun ia dipercayai merujuk kepada hasil lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini ke beberapa buah negara yang menyaksikan kerajaan memeterai pelaburan antarabangsa dalam usaha merancakkan ekonomi negara.

BBerkaitan

Latest articles