Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad ralat dengan situasi terbaru melanda partinya, dengan meminta anggotanya menilai semula kedudukan parti itu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Bekas Perdana Menteri itu juga mendakwa PPBM kini tiada hala tuju, baik bersama PN dan Pakatan Harapan (PH).
“Di satu pihak kita tak dapat sokongan daripada Umno, di pihak lain (Bersatu) juga tidak mendapat sokongan daripada PH.
“Jadi Bersatu tinggal terkontang-kanting, tak ada daratan, tak tahu di mana,” luahnya memetik Malaysiakini.
Malah dengan perpecahan PPBM kepada dua kumpulan pada hari ini akan menyaksikan kekalahan teruk parti yang diasaskan itu pada pilihan raya akan datang.
“Sudah tentu jika ada pilihan raya, tak mungkin Bersatu kekal (sebagai kerajaan) pun,” luahnya.
Bahkan ini akan menggagalkan lagi ‘harapannya’ untuk orang Melayu melihat sebuah parti selain Umno yang berteraskan Melayu.
Mahathir turut menyentuh janji Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan kerjasama PPBM dengan Umno dan PAS.
Bahkan Mahathir turut mengingatkan ahli parti untuk tidak setia kepada mana-mana pemimpin secara melulu.
“Ahli Bersatu harus sedar bahawa janji Muhyiddin untuk mengadakan satu gabungan bersama Umno dan PAS tidak wujud.
“Ya kita patut setia tetapi jangan setia kepada pemimpin (begitu saja). Pastikan pemimpin itu berjuang untuk bangsa, negara dan agama, baru kita boleh setia kepada mereka.
“Orang yang hanya berjuang untuk dirinya…Walaupun dia pemimpin kita, janganklah kita rosakkan diri kita dengan setia kepadanya,” katanya lagi.