Tun M Puji DAP Sudah Banyak Berubah

Pernah menganggap DAP sebagai musuh politik ketika dirinya menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini kembali mengulangi kenyataan bahawa parti pimpinan Lim Kit Siang itu sudah banyak berubah.

Tidak lagi parti yang sikapnya ‘sangat Cina’, ujar Dr Mahathir, DAP kini sangat rasional dan menerima keahlian pelbagai kaum apatah lagi turut meletakkan calon berbangsa Melayu.

Bekas pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu juga mendakwa tuduhan yang dilemparkan kepada DAP puluhan tahun lalu adalah kerana sokongan politik dan kuasa.

“(Dulu) DAP memanggil saya diktator, rasuah, menyeleweng kuasa dan macam-macam lagi.

‘Kenapa ini terjadi? Kerana semasa anda sedang bertarung, kamu akan memanggil lawan sebagai syaitan walaupun dia ini orang yang baik.

“Tengok DAP, apabila mula-mulanya ditubuhkan pada 1965, ia merupakan cawangan PAP Singapura.

“Mereka ‘sangat Cina’, tetapi DAP sedar bahawa mereka tidak boleh seperti PAP di Singapura kerana pada masa itu 75 peratus penduduk Singapura adalah orang Cina sementara 60 peratus penduduk sini adalah Melayu. Oleh itu, DAP telah banyak berubah,” katanya kepada Sin Chew Daily.

DAP juga telah berubah kepada ‘versi yang lebih baik’ apabila sedar mereka kurang sokongan kaum Melayu.

Malah menyentuh pencalonannya sebagai perdana menteri sebaik sahaja Pakatan Harapan (PH) menang dalam PRU14 lalu, Dr Mahathir berterima kasih kerana DAP turut menyokongnya.

“Ini kerana masa itu Datuk Seri Anwar Ibrahim masih berada di penjara dan tidak boleh menjadi calon PM. Kalau Anwar ada, saya yakin beliau akan minta jawatan PM.

“DAP, Amanah dan PKR mencalonkan saya sebagai PM, satu orang yang mereka panggil syaitan sebelum ini sedangkan saya tidak pernah meminta,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles