Tun M Persoal Keperluan Tukar Pengurusan Menara KL

KUALA LUMPUR: Tidak ada keperluan untuk menukar pengurusan Menara Kuala Lumpur sehingga ia menjadi polemik pada hari ini, sedangkan tiada masalah yang timbul sepanjang pengoperasiannya.

Malah tegas Tun Dr. Mahathir Mohamad, menara yang pernah menjadi mercu tanda Kuala Lumpur itu meskipun telah diswastakan, tidak seterusnya dijual kepada pihak lain.

Menurut beliau, penswastaan Menara Kuala Lumpur menjadi bukti kejayaan bumiputera dan tidak wajar hak tersebut diambil oleh pihak lain.

“Jika menara ini menghadapi masalah kerugian atau lain-lain, kita bolehlah fikir untuk menukar pengurusannya.

“Tetapi setakat yang saya tahu, tiada masalah dengan menara ini, kenapa hendak ditukar kepada orang lain? Ini yang saya tidak faham,” ujar beliau di sidang media selepas merasmikan upacara pembukaan Kapsul Masa Wawasan 2020 di Menara Kuala Lumpur hari ini.

Reaksi bekas Perdana Menteri itu merujuk kepada writ saman dan permohonan injunksi yang difailkan Menara Kuala Lumpur ekoran pelantikan syarikat konsesi baharu yang akan menguruskan menara itu.

Pada 28 Mac lalu, Hydroshoppe Sdn Bhd, bersama anak syarikatnya, MKLSB memfailkan saman ke atas kerajaan dan beberapa pihak lain untuk menuntut ganti rugi lebih RM1 bilion.

Mereka membuat tuntutan itu susulan dakwaan penamatan perjanjian secara salah pada November 2022, termasuk lanjutan konsesi syarikat daripada 15 tahun kepada 30 tahun.

Ia berikutan keputusan kerajaan pada Mei tahun lalu menganugerahkan konsesi pengurusan menara itu kepada entiti lain iaitu LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM).

Menurut pernyataan tuntutan mereka, Hydroshoppe dan MKLSB memohon Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan perjanjian 2022 sebagai masih sah dan mengikat kerajaan.

Syarikat-syarikat itu merayu supaya mahkamah memerintahkan bahawa mereka masih berhak mendapat konsesi menara selama 30 tahun mulai 31 Disember 2022, dan bahawa kerajaan telah melakukan pecah amanah apabila memberikan kontrak kepada entiti lain.

BBerkaitan

Latest articles