KUALA LUMPUR: Pertemuan dengan BlackRock Inc di London pada tahun 2018 bersama dengan beberapa pemimpin syarikat lain bertujuan mengetahui prospek ekonomi untuk Malaysia.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad sekaligus menolak dakwaan wujudnya sebarang perjanjian dilakukan pada ketika itu.
“Saya fikir (pertemuan) itu adalah untuk mengetahui apa yang boleh mereka lakukan (untuk Malaysia). Tetapi tiada perjanjian dengan mereka. Hanya pertemuan,” kata Dr. Matathir yang ditemui selepas merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Projek 66.6 di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.
Terdahulu bekas Ahli Parlimen Langkawi itu diajukan mengenai penularan keratan layar di media sosial mengenai pertemuan beliau dan pengurusan BlackRock ketika memimpin negara.
Selain BlackRock, Dr. Mahathir turut bertemu dengan pimpinan syarikat pengurusan aset PIMCO dan AMUNDI yang dianjurkan oleh HSBC Bank.
BlackRock menjadi perhatian selepas syarikat yang dimiliki sepenuhnya, Global Infrastructure Partners (GIP) dilaporkan akan membeli kepentingan dalam Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).
Terdapat bantahan terhadap penjualan saham MAHB kepada GIP berikutan BlackRock didakwa sebagai pro-Israel dan didakwa terlibat secara tidak langsung terhadap pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Serangan berterusan Israel ke atas Gaza selama lebih lapan bulan telah menyebabkan lebih 37,000 penduduk Palestin maut selain menyaksikan kemusnahan besar-besaran infrastruktur di wilayah itu yang menyelabkan lebih 1 juta menjadi pelarian.
Sementara itu Dr. Mahathir menegaskan polisi terhadap Israel dan syarikat yang pro negara Zionis harus berubah mengikut perkembangan semasa.
Katanya, berbanding dahulu pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza ketika ini adalah melebihi luar kemanusiaan.
“Penindasan (terhadap penduduk Palestin) berlaku sejak dahulu namun hari ini (Israel) membunuh kira-kira 100 orang Palestin sehari. Ini tidak berperikemanusiaan.
“Dan bahagian yang lebih teruk ialah Amerika Syarikat menyokong (pembunuhan beramai-ramai) dengan menyediakan bom dan roket.
“Jadi ia sangat serius, pembunuhan beramai-ramai sedang berlaku. Itulah sebabnya dasar negara perlu mengikut apa yang berlaku di lapangan,” katanya kepada media.
Dr. Mahathir berkata, tindakan paling mudah bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza adalah dengan memboikot syarikat yang menyokong Israel.