Tun M Masih Berminat Jadi Calon Di Langkawi

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan akan mempertahankan kerusi yang sama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Bagaimanapun Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) menegaskan tindakan bertanding di Parlimen berkenaan bukan cubaannya untuk menjadi calon Perdana Menteri (PM) yang ke-10.

“(Parlimen) Langkawi calonnya ada Dr Mahathir Mohamad dan bukan sebagai calon Perdana Menteri dan hanya calon wakil rakyat sahaja.

“Kita tidak tentukan siapa yang jadi Perdana Menteri kerana calon Perdana Menteri relevan kalau kita menang, kalau kita kalah tidak relevan,” katanya ketika bercakap pada sidang media khas berkenaan persiapan menghadapi pilihanraya bagi Parti Gerakan Tanah Air (GTA) yang akan bertanding di PRU 15 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Untuk rekod pada PRU14, Mahathir yang berjaya menewaskan pencabarnya dari Barisan Nasional (BN), Datuk Ir. Nawawi Ahmad dan calon PAS, Zubir Ahmad dengan majoriti 8,863 undi di Parlimen Langkawi.

Atas kemenangan itu, Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri kali kedua selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan.

Pada Mac lalu, Dr Mahathir memaklumkan dirinya tidak akan bertanding di kerusi Parlimen Langkawi pada PRU15 mengambil kira faktor usia dan kesihatannya yang belum pulih selepas menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Malah ketika itu Dr Mahathir memberi alasan mahu memberi laluan kepada calon baharu yang lebih muda dan sesuai di kerusi itu.

Namun pendirian Dr Mahathir mula berubah dalam satu kenyataan Jun lalu, apabila memberitahu dirinya sedia mempertimbangkan cadangan bertanding dalam PRU15 bagi mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi sekiranya tiada calon di sana.

BBerkaitan

Latest articles