Tun M Marah KJ Kerana Lawan Mukhriz Jadi Ketua Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR: Memenuhi jemputan sebagai tetamu siri Podcast “Keluar Sekejap”, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendedahkan kemarahannya kepada Khairy Jamaluddin berpunca dari pemilihan Ketua Pemuda UMNO pada tahun 2009.

Bekas Perdana Menteri itu memberitahu dirinya tidak senang dengan Khairy kerana mencabar anaknya Datuk Seri Mukhriz dalam pertandingan merebut jawatan berkenaan.

Terdahulu KJ yang juga bekas Menteri Kesihatan melontarkan soalan “Kenapa Tun tak suka saya?”.

“Pasal you bertanding dengan anak saya. Lepas itu, mak mertua you kempen untuk you. Itu yang saya diberitahu,” kata Mahathir.

Usai Dr Mahathir menjawab, Khairy kemudiannya menafikan penglibatan ibu mertuanya, Allahyarhamah Tun Seri Endon Mahmood yang didakwa membantu kempennya untuk memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO.

“Ada, orang ceritalah. Kita tak payah bincang pasal inilah,” kata Mahathir lagi.

Untuk rekod, Khairy dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno pada tahun 2009 selepas mendapat 304 undi.

Beliau menewaskan Mukhriz yang hanya mendapat 223 undi manakala seorang lagi calon Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mendapat 254 undi.

Dalam temubual itu juga, Dr Mahathir juga diajukan pertanyaan mengapa dirinya tidak ‘sebulu’ dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu mengakui beliau marah kerana bapa mertua KJ itu tidak menunaikan janji selepas dilantik sebagai perdana menteri.

“Walaupun dulu dia sokong Tengku Razaleigh saya beri tempat kepada dia. Bila dia jadi perdana menteri perkara pertama dia lakukan selepas berjanji kepada saya untuk meneruskan projek landasan berkembar, jambatan bengkok dan MV Agusta.

“Dia janji hendak teruskan dalam tempoh dua minggu saya letak jawatan dan dia jadi perdana menteri, dia batalkan landasan berkembar, jambatan bengkok.

“Saya kecewa kerana janji. Sebab itu saya berpendapatan bahawa eh, Abdullah ini masih benci kepada saya, tapi dia janji. Dia tidak tunai janji. Itu yang menyebabkan saya berasa kecewa dengan dia,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles