KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilihat sengaja ‘buat-buat tidak tahu’ mengenai pendakwaan terpilih.
Sedangkan selepas Pakatan Harapan (PH) menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Dr Mahathir yang ketika itu Pengerusi BERSATU dan Perdana Menteri membuat usaha terdesak dengan memintanya supaya membubarkan UMNO.
Ia bertujuan supaya semua ahli UMNO beralih berpindah ke parti BERSATU.
“Tujuannya adalah untuk menghasut supaya ahli UMNO sendiri membenci parti berteraskan Melayu yang banyak berjasa kepada masyarakat dan negara.
“Usaha terdesak Dr Mahathir apabila meminta saya membubarkan UMNO. Berderau darah saya mendengar kata-kata itu, maka apabila saya diminta untuk melompat parti meninggalkan UMNO dan menyertai BERSATU, dengan tegas saya tolak permintaan Dr Mahathir untuk bubarkan UMNO.
“Saya tak akan khianati parti UMNO walaupun ketika itu UMNO sedang tewas, ramai wakil rakyat (UMNO) yang lompat parti, menjauhkan diri dan menganggap UMNO tidak akan mampu kembali menjadi kerajaan,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Ahmad Zahid berkata, tidak lama selepas tidak bersetuju UMNO perlu dibubar, beliau terpaksa membayar harga tinggi dengan pendakwaan terpilih apabila dikenakan 87 tuduhan rasuah.
“Saya tak pernah berganjak seinci pun mempertahankan UMNO. Kalaulah saya akur untuk membubar UMNO dan melompat parti, saya tidak akan dikenakan apa-apa, bebas daripada pendakwaan terpilih.
“Hal ini kerana terdapat beberapa Ahli Parlimen yang melompat parti dan meninggalkan UMNO atau Barisan Nasional (BN) untuk menyertai BERSATU kerana takut akan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meskipun menerima wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Saya pernah ketengahkan perkara ini di mahkamah sebelum ini,” katanya.
Beliau bagaimanapun, menegaskan akan tetap berdiri tegak mempertahankan parti UMNO tanpa gentar dengan pendakwaan terpilih itu.
“Manusia boleh merancang, tetapi perancangan Allah SWT adalah sebaik-baiknya. Marilah berdoa supaya kita berjaya lawan kezaliman dan penganiayaan musuh politik BN yang cuba memusnahkan UMNO,” katanya.