Tun M Lupa Dia Sendiri Pinda Perlembagaan UMNO Berkali-kali Sebelum Ini?

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan menempelak Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengkritik parti itu kononnya tidak menghormati perlembagaan parti yang membolehkan pemilihan kepimpinan ditangguhkan.

Tegasnya bekas perdana menteri itu juga telah melakukan perkara sama iaitu meminda Perlembagaan UMNO ketika menjadi presiden parti itu.

“Saya tak merasakan UMNO perlu menjustifikasi tindakan dalaman kepada parti saingan tetapi disebabkan yang bersuara kali ini juga bekas Presiden UMNO, mungkin ada baiknya saya ingatkan.

“Ini bukan kali pertama pindaan Perlembagaan UMNO telah dilakukan. Semenjak 1987 hingga kini, pindaan perlembagaan telah dilakukan tiga kali,” katanya.

Menjelaskan lanjut, Shahril berkata Mahathir telah meminda Perlembagaan UMNO dengan memperkenalkan sistem 10 undi bonus bagi setiap pencalonan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1987.

Bukan itu sahaja, 11 tahun kemudian iaitu pada 1998, Mahathir sekali lagi meminda Perlembagaan UMNO untuk memperkenalkan sistem kuota pencalonan bagi jawatan-jawatan tertinggi parti diperkenalkan.

“Adakah bermaksud kepimpinan waktu itu tak hormat perlembagaan parti?” sindir Shahril.

Tambahnya, Mahathir turut meminda Perlembahaan Persekutuan sebanyak 24 kali ketika menjadi Perdana Menteri.

“Kali pertama Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda 23 kali termasuk tahun 1988 di mana terjadinya krisis Perlembagaan.

“Kali kedua Tun menjadi Perdana Menteri, Perlembagaan Persekutuan dipinda satu kali. Adakah ini juga bermaksud tak hormat perlembagaan negara sendiri? Sudah tentu jawapan kepada semua diatas: tidak,” katanya.

Menurut Shahril, perlembagaan sesebuah organisasi boleh dipinda mengikut kesesuaian sesuatu waktu dan akan dipinda dari masa ke semasa selagi tidak lari dari semangat dan roh perjuangan parti tersebut.

Tambahnya, meminda perlembagaan parti lebih baik berbanding ‘berpindah’ parti berkali-kali.

Kritikan Mahathir menyusul selepas UMNO tidak menghormati perlembagaan parti apabila meluluskan usul meminda Perlembagaan UMNO bagi menangguhkan pemilihan parti itu.

Ahli Parlimen Langkawi itu turut mempersoalkan tempoh penangguhan pemilihan UMNO.

BBerkaitan

Latest articles