KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan pelancaran satu inisiatif baharu dinamakan Jawatankuasa Sekretariat Orang Melayu, sebagai usaha menyatukan orang Melayu di bawah satu gerakan tidak rasmi yang bebas daripada pengaruh politik.
Dalam sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana, Dr. Mahathir berkata sekretariat itu diwujudkan untuk menangani pelbagai masalah yang menurut beliau gagal diselesaikan oleh kerajaan semasa, serta sebagai jalan untuk “mengembalikan kuasa politik orang Melayu”.
“Perjuangan kita bukan tentang politik, tetapi tentang menyelamatkan orang Melayu. Hari ini kita berpecah kerana fahaman politik, dan akibatnya orang Melayu gagal dalam banyak perkara,” katanya.
Beliau menegaskan, fokus utama sekretariat ini ialah membentuk sebuah gerakan besar yang boleh menyatukan semua orang Melayu tanpa mengira latar belakang politik, dengan harapan mengukuhkan kembali pengaruh Melayu dalam pentadbiran negara.
Turut hadir dalam perbincangan penubuhan sekretariat tersebut ialah pemimpin-pemimpin kanan blok pembangkang, antaranya Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pengerusi PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Timbalan Presiden Bersatu) dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Timbalan Presiden PAS).
Ketika ditanya mengenai penglibatan UMNO dalam gerakan tersebut, Dr. Mahathir berkata ahli UMNO juga dialu-alukan untuk bersama, selagi mereka bersetuju dengan matlamat perjuangan sekretariat.
“Kalau mereka ahli UMNO tetapi setuju dengan usaha ini, kita terima. Ini tentang perjuangan orang Melayu, bukan parti,” katanya.
Walaupun disifatkan sebagai gerakan tidak rasmi dan bukan parti politik, Dr. Mahathir tidak menolak kemungkinan sekretariat ini akan bergerak secara strategik menjelang pilihan raya umum akan datang.
“Kita akan buat persiapan untuk pastikan kemenangan orang Melayu dalam pilihan raya. Hari ini, kuasa politik Melayu sudah hilang separuh,” tegas beliau.