Tun M Kritik OIC, Gesa Sekat Eksport Minyak Ke Israel, Negara Sekutu

KUALA LUMPUR: Israel tidak akan mengendahkan resolusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menerusi sidang kemuncaknya di Riyadh, Arab Saudi Sabtu lalu yang hanya menggesa mereka berhenti membunuh rakyat Palestin.

Sebaliknya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpandangan OIC perlu mengambil pendirian lebih tegas termasuk menyekat eksport minyak ke Israel dan negara-negara sekutunya.

Beliau percaya tindakan itu boleh dilakukan OIC melalui Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Minyak (OPEC).

“Allah SWT telah mengurniakan banyak minyak kepada negara-negara Islam, jika mereka menyekat bekalan minyak kepada Israel, Israel akan merasa kesannya.

“Bukan sahaja Israel tetapi negara-negara lain di Eropah patut disekat daripada menerima bekalan minyak dan gas supaya mereka merasa tekanan yang diberikan oleh pihak yang mahu membantu rakyat Palestin.

“Tetapi OIC tidak mengeluarkan resolusi selain meminta Israel menghentikan pembunuhan,” katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.

Turut hadir, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan; Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid; Presiden Muslim Care Malaysia Society, Zulkifli Wahijan dan
Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Badereddin Seyam.

Dr Mahathir yang juga Presiden Kehormat Yayasan Kepimpinan Perdana memberitahu, Amerika Syarikat (AS) turut mengenakan sekatan terhadap negara-negara lain yang tidak sehaluan dengannya.

Beliau memberi contoh bagaimana Malaysia juga tidak dibenarkan berdagang dengan Iran ekoran sekatan yang dikenakan oleh AS terhadap negara berkenaan.

“Itu bukan bermakna kita menyokong AS tetapi tindakan akan diambil oleh AS jika kita tidak mengikut arahan mereka,” jelasnya.

Dalam pada itu Dr Mahathir menggalakkan rakyat Malaysia meneruskan tindakan boikot terhadap produk-produk yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Israel.

“Walaupun ia telah dibeli orang lain tetapi wang akan pergi kepada pengasasnya iaitu orang Yahudi di AS,” katanya.

Dr Mahathir berkata, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sepatutnya menghantar pasukan pengaman ke Gaza seperti yang dilakukan di negara-negara yang dilanda konflik bersenjata.

“Namun ia tidak dilakukan kerana negara-negara besar menggunakan kuasa veto untuk menghalangnya,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles