Tun M Kritik Kerajaan Anwar ‘Tidak Cekap’

KUALA LUMPUR: Setelah menahan diri dan melihat prestasi semasa menteri-menteri Kerajaan Perpaduan, Tun Dr Mahathir Mohamad melontarkan kritikan terhadap barisan kabinet yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Dakwa beliau, kerajaan pusat yang ditubuhkan November tahun lalu sebagai tidak cekap dan tidak berfungsi.

“Ini kerajaan yang tidak cekap. Pada awal saya tidak buat runggutan dan beri mereka masa. Laporan yang saya dapat daripada ramai orang ialah kerajaan ini tidak berfungsi,” katanya dalam temubual program Skop MG, malam tadi.

Dakwa bekas Perdana Menteri dua kali itu lagi, menteri hari ini lebih mengutamakan gaji dan gelaran ‘yang berhormat’ dan hanya memberi tumpuan cara untuk mengekalkan kerajaan dan mengabaikan peranan mentadbir negara.

Dr Mahathir gusar masa hadapan rakyat dan negara akan terjejas sekiranya kerajaan sedia ada terus mentadbir, kerana terbiasa menjadi pembangkang sebelum ini.

“Mudah kata (nak) turun harga minyak. Macam-mana nak turun? Tak tahu? Kita nak naik gaji pegawai kerajaan, di mana nak cari duit?

“Kita sekarang ini duit bayar hutang (Datuk Seri) Najib (Razak). Itu tak fikir? Kita beritahu syarikat kena bayar orang yang masuk dalam latihan. Kena naik gaji.

“Yalah orang itu peniaga, kalau naik gaji dia rugi. Jadi (bukan) mudah kerajaan nak naik harga, nak turun harga. Cuma cakap sahaja,” katanya lagi.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu turut mendakwa menerima laporan kononnya ada menteri yang menolak pelaburan.

“Banyak aduan yang saya terima ialah menteri-menteri tidak mahu jumpa pelabur. Ada menteri yang bila jumpa dengan pelabur kata akan fikir atau ini bukan tanggungjawab saya, ada menteri lain.

“Laporan yang saya dapat daripada ramai orang ialah kerajaan ini tidak berfungsi. Saya nak cari (menteri) yang baik (buat kerja) tak jumpa. Tak ada hasil.

“Bercakap banyak kononnya berbilion-bilion pelaburan ada. Balik (dari luar negara) buat laporan kata ada pelaburan berbilion tapi sampai sekarang tak nampak satu langkah pun diambil untuk membawa pelaburan ini,” dakwanya.

BBerkaitan

Latest articles