Tun M Kritik Isu 3R Kerana Isu Peribadi, Mungkin Masih Dibayangi ISA

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi percaya kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempersoalkan larangan isu agama, bangsa dan raja (3R) dibicarakan secara terbuka berkemungkinan kerana beliau mempunyai kepentingan peribadi.

Sedangkan sebagai bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir seharusnya lebih memahami larangan itu yang terhad kepada tiga perkara sahaja.

“Sebagai seorang bekas Perdana Menteri yang sangat arif tentang perkara-perkara ini, tidak seharusnya membangkitkan soal 3R yang kononnya terlalu umum.

“Saya berpandangan bahawa beliau sengaja mempertikai dan mempersoalkan perkara ini kerana beliau mempunyai kepentingan peribadi,” katanya kepada pemberita di Le Meridien Hotel selepas menghadiri Majlis Makan Malam Bersama Duta–Duta Organisation of Islamic Cooperation (OIC).

Reaksi Ahmad Zahid itu merujuk kepada kenyataan Dr Mahathir bahawa isu 3R itu terlalu umum dan kerajaan tidak berhak menghalang mana-mana pihak membicarakannya secara terbuka.

Menurut beliau, kerajaan tidak boleh melarang orang ramai menyentuh isu 3R melainkan ia ada kaitan dengan keselamatan negara.

Dalam pada itu Ahmad Zahid tidak menolak kemungkinan perkara itu timbul kerana Dr Mahathir dibayangi dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika zaman pemerintahannya.

“Dulu ada Akta ISA dan ketika itu Perdana Menteri selama 22 tahun itu telah menggunakan sewenang-wenangnya ISA untuk menahan siapa sahaja yang berbeza pendapat.

“Saya salah seorang mangsanya,” katanya.

Katanya, apabila pemimpin pembangkang termasuk Dr Mahathir dikenakan larangan menyentuh isu 3R, bekas Perdana Menteri mengatakan ia terlalu umum dan mengancam keselamatan.

“Kini apabila beliau menyatakan bahawa 3R terlalu umum, saya tidak fikir ianya umum.

“Ia hanya melibatkan tiga perkara yang utama.

“Ia tidak seharusnya disentuh, kerana sensivitinya melilbatkan perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles