Tun M Kenang Sikap Pak Lah Letak Jawatan Tanpa Bantah Tonjol Politik Matang M’sia

KUALA LUMPUR: Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi disifatkan sebagai seorang pemimpin yang berjiwa besar dan berprinsip, demikian menurut bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Katanya, sikap itu ditunjukkan Abdullah, atau mesra disapa Pak Lah apabila menyerahkan jawatan Perdana Menteri tanpa sebarang pertikaian selepas prestasi buruk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12).

Dr Mahathir berkata, meskipun mereka berdua pernah berbeza pendapat, beliau menghormati cara Abdullah mengendalikan proses peralihan kuasa yang mencerminkan kematangan politik Malaysia.

“Abdullah mengambil alih jawatan Perdana Menteri selepas saya meletakkan jawatan, dan dalam tempoh awal pentadbirannya, negara menyaksikan salah satu kemenangan paling besar dalam sejarah pilihan raya apabila BN memenangi hampir 90 peratus undi dalam PRU 2004.

“Kejayaan besar itu menunjukkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Abdullah ketika itu.

“Bagaimanapun, katanya, selepas itu Abdullah berdepan pelbagai cabaran yang akhirnya menyumbang kepada kemerosotan prestasi BN dalam PRU12,” katanya yang ditemui media selepas memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah di Masjid Negara, hari ini.

Bekas Presiden UMNO itu juga menyorot kisah bagaiman Pak Lah mengambil pendirian tegas melepaskan jawatannya dan menyerahkan kepada timbalannya ketika itu, Datuk Seri Najib Razak selepas kekalahan teruk BN pada tahun 2008.

“Tindakan Abdullah yang melepaskan jawatan tanpa sebarang bantahan atau konflik adalah contoh kepada tradisi politik matang di Malaysia.

“Amalan ini wajar diteruskan oleh generasi kepimpinan akan datang demi kestabilan negara,” tambahnya. 

Terdahulu Dr Mahathir tiba di Masjid Negara kira-kira jam 11.15 pagi bersama anaknya, Datuk Seri Mukhriz disambut menantu Allahyarham, Khairy Jamaluddin.

BBerkaitan

Latest articles