KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Majlis Eksekutif Pusat, Armin Baniaz Pahamin mendedahkan kekecewaan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap perjuangan asal Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) diketepikan semata-mata parti itu hendak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Armin menegaskan Dr Mahathir sangat sedih apabila Pejuang masih mahukan PH, sedangkan idea itu tidak selari dengan matlamat dan perjuangannya yang mahu membela nasib orang Melayu dan menyelamatkan negara.
Tindakan Pejuang sekaligus menunjukkan ia sanggup membelakangkan perjuangan demi mencapai matlamat mereka.
”Tun Mahathir dan kami sentiasa konsisten untuk menyatupadukan parti, NGO dan individual Melayu. Tapi pejuang tak setuju dan tolak perjuangan GTA yang dipengerusikan oleh Tun sendiri dan pada masa sama sanggup mempertimbangkan kerjasama dengan perjuangan gabungan lain.
”Apabila Pejuang menolak GTA, Tun Mahathir yang pada masa itu masih kekal sebagai ahli menganggap Pejuang telah menyingkir beliau selaku Pengerusi GTA dan juga pencetus idea penyatuan Melayu.
“Oleh itu, Tun Mahathir bersama kami berpendapat sudah tidak ada ruang dan tempat lagi untuk kami dalam Pejuang.
“Apabila kepimpinan Pejuang menolak GTA maka kita tahulah bahawa mereka tidak berminat dengan perjuangan asal parti,” katanya memetik laporan MalaysiaGazette.
Semalam, Dr Mahathir yang juga bekas Pengerusi Pejuang bertindak keluar parti yang diasaskannya itu bersama 12 lagi individu semalam.
Mereka ialah bekas Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Marzuki Yahya; bekas Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan bekas Ahli Majlis Eksekutif Pusat Pejuang, Abu Bakar Yahya.
Turut meninggalkan Pejuang ialah Armin Baniaz Pahamin, Afiqah Mohamad, Azman Mohd. Hashim, Datuk Nuhairi Rahmat, Mohd Jaffri Hussain, Mohamad Jani, Datuk Ahamed Basheer, Wan Azliana Wan Adnan dan Fyzul Adzwan Mustafa Kamal.
Armin juga menjelaskan pembentukan GTA yang diasaskan oleh Mahathir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 bertujuan menyatupadukan parti-parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan pejuang-pejuang Melayu di bawah satu gabungan.
Idea itu, dakwanya mendapatkan sokongan namun sayangnya GTA tidak sempat didaftarkan kerana PRU-15 diumumkan lebih awal.
Meskipun Pejuang kalah teruk pada November lalu, namun Dr Mahathir dikatakan tetap bersemangat kerana yakin GTA masih diterima baik.
“Tetapi Pejuang pulak tarik sokongan ada di pihak Pejuang Muda tidak setuju dengan usaha memperkasakan GTA.
“Pejuang beria-ria mahu menjadi sebahagian daripada parti yang menyokong Pakatan Harapan (PH) yanh didakwa sudah establish (kukuh) dengan alasan untuk kekal relevan,” tambahnya.
Sebagai individu yang terawal dalam penubuhan Pejuang, Armin tidak menafikan beliau kecewa dengan tindakan parti itu.
“Sebab dari awal-awal lagi perjuangan Pejuang adalah untuk menyatukan orang Melayu dan menyelamatkan Malaysia.
“Kalau parti-parti Cina, waima apa pun jenamanya, mereka masih memperjuangkan bangsanya.
“Tetapi parti Melayu tidak konsisten, tidak setia dengan perjuangan mereka. Memang menyedihkan,” tambahnya lagi.
Ditanya apa reaksi Datuk Seri Mukhriz Mahathir selaku Presiden Pejuang dengan tindakan 13 ahli ini, beliau berkata: “Tidak pasti”.
Armin juha mendakwa, setakat ini PH juga tidak menunjukkan minat terhadap Pejuang.
Armin berkata, dengan keputusan yang dibuat oleh Mahathir dan 12 yang lain bermakna usaha memperkasakan GTA akan dibuat.
“Tunggu pengumuman Dr Mahathir tidak lama lagi,” ujarnya.