Tun M Kata Tak Akan Bertanding Dalam PRU15

Pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu bahawa dirinya tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang, sekaligus tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi yang dimenanginya sebelum ini.

Sebaliknya, bekas perdana menteri itu berkata akan menggunakan medium parti barunya untuk terus berjuang melawan rasuah.

“Saya mahukan sedikit masa lagi tetapi saya fikir saya akan berkhidmat hanya untuk tempoh yang pendek.

“Tetapi saya tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-15,” kata Dr Mahathir menerusi wawancara bersama Kyodo News, kelmarin.

Menerusi temubual tersebut, Dr Mahathir juga mendakwa kerajaan baru pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengikut cara lama kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan mengamalkan rasuah.

“Malangnya begitulah. Selama tiga bulan setelah Perikatan Nasional menjadi kerajaan, saya tidak membuat sebarang komen kerana saya ingin melihat prestasi mereka.

“Sayangnya, ia telah berubah menjadi rasuah, membeli sokongan untuk parti pemerintah.

“Walaupun melakukan semua itu, ia hanya ada dua majoriti ahli parlimen,” katanya lagi.

Bekas pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu merujuk kepada majoriti tipis yang dimiliki Muhyiddin dalam pembentukan kerajaan Perikatan Nasional, termasuk dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada baru-baru ini yang mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli parlimen daripada pelbagai parti.

“Saya harap kalau Anwar ada (majoriti) buktikan bahawa dia betul-betul mempunyai cukup bilangan dan kita putuskan perkara itu.

“Tunjuk bukti dan kita sanggup pergi ke Dewan Rakyat nak dengar siapa yang dapat sokongan dan siapa yang tidak mendapat sokongan,” katanya.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,803FollowersFollow
20,900SubscribersSubscribe

Terkini