Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek percaya beberapa tuduhan yang dilemparkan pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Barisan Nasional (BN) adalah kerana tidak dapat menerima kekalahan calonnya di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, baru-baru ini.
BN Menang PRK Slim Dengan Politik Wang – Tun M
“Fiksyen politik macam-macam. Dulu ada cerita 40 ribu pengundi Bangladesh dan macam-macam lagi bila kalah,” demikian ciapnya di Twitter.
Ahmad Shabery kemudiannya menggesa bekas perdana menteri itu membuat laporan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas tempoh 14 hari dengan membawa bukti wujudnya amalan sogokan wang kepada pengundi, seperti yang didakwanya.
“Kita tunggulah bantahan dalam tempoh 14 hari ni. Kalau ada bukti, mungkin calon cap pokok masih boleh jadi ADUN,” katanya lagi.
Pada PRK Slim yang berlangsung Sabtu lalu, BN berjaya mengekalkan kerusi tersebut apabila calonnya, Mohd Zaidi Aziz berjaya memperoleh kemenangan selesa dengan majoriti 10,945 undi.
Mohd Zaidi menewaskan calon yang disokong Dr Mahathir, Amir Khusyairi dan seorang lagi calon bebas, S. Shantarasekaran.
Amir Khusyairi hanya memperoleh sebanyak 2,115 undi.
Semalam, Dr Mahathir mendakwa kemenangan BN di PRK Slim disebabkan pengundi diberikan bayaran tertentu untuk memastikan kemenangan calon mereka.