KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.30 pagi tadi selepas dilaporkan terjatuh di kediamannya pada awal pagi.
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Akhbarnya, Sufi Yusoff, ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, Tun Dr Mahathir kini sedang menjalani pemantauan kesihatan secara menyeluruh di hospital berkenaan.
“Beliau dimasukkan ke IJN susulan insiden terjatuh dan keadaannya sedang dipantau,” katanya ringkas.
Untuk rekod, pada 13 Julai 2025, Tun Dr Mahathir yang kini berusia 100 tahun pernah mendapatkan rawatan di IJN akibat keletihan sebelum dibenarkan pulang pada hari yang sama selepas beberapa jam menjalani pemeriksaan.










